Kelayakan Piala Dunia 2022: Hatrik Neymar Bererti Ronaldo Nombor Tiga

Brazil

Juara dunia lima kali, Brazil berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Peru pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Estadio Nacional, sebentar tadi.

Selain daripada kebangkitan dilakarkan skuad bimbingan Tite tersebut, jaringan hatrik Neymar dan dua kad merah dilayangkan kepada pemain Peru dalam tempoh tiga minit turut menghiasi perlawanan yang menghadiahkan kemenangan kedua buat Brazil itu.

Brazil tersentak seawal minit keenam perlawanan apabila percubaan voli dari luar kawasan penalti Andre Carillo yang diledakkan berjaya menewaskan penjaga gol The Selecao, Weverton.

Roberto Firmino terlepas peluang untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-13 setelah percubaannya dihalang Pedro Gallese ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol tersebut.

Kekasaran yang dilakukan pemain tengah, Yoshimar Yotun terhadap Neymar dalam kawasan penalti telah menghadiahkan sepakan penalti buat Brazil lalu disempurnakan dengan baik bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu pada minit ke-28.

Memasuki minit ke-59, Peru yang dibimbing Ricardo Gareca sekali lagi berada di hadapan apabila rembatan dari jarak jauh dilepaskan Renato Tapian membias terkena pertahanan Brazil lalu bola menerjah gawang gol.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan lima minit sahaja selepas Richarlison mudah menolak masuk bola ke dalam gawang ketika beliau langsung tidak dikawal pertahanan Peru ketika situasi sepakan penjuru.

10 minit terakhir jelas menyerlahkan kehangatan aksi ini apabila Neymar menyempurnakan sepakan penalti kedua buatnya untuk meletakkan Brazil di hadapan pada minit ke-83.

Tiga minit kemudian, malang terus menimpa Peru setelah kehilangan khidmat Carlos Zambrano kerana menyiku Richarlison dan pengadil perlawanan dari Chile, Julio Bascunan Gonzalez tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah buatnya. Pemain simpanan, Carlos Caceda turut menerima nasib yang sama pada minit ke-89.

Kelebihan itu digunakan sepenuhnya oleh Neymar untuk melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan apabila mencetak jaringan dari jarak dekat susulan percubaan awal Everton yang terkena tiang gol.

Lebih manis buat Neymar pada malam ini ialah tiga jaringan yang dihasilkan telah meletakkannya sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman buat Brazil di pentas antarabangsa dengan 64 gol.

Beliau telah memintas rekod jaringan legenda ‘9’, Ronaldo Luis Nazario De Lima yang mencatatkan 62 gol. Penjaring terbanyak buat Brazil masih dipegang oleh Pele dengan 77 gol.

Kredit featured image: Paolo Aguilar-Pool/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Neymar:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply