Kelayakan AFC B-16: Malaysia Tumpas Di Tangan ‘Skuad Berdisiplin’ Laos

Malaysia Laos B-16 AFC

Malaysia tumbang mengejut 0-1 kepada Laos dalam aksi kedua Kumpulan J hasil jaringan di awal babak pertama oleh Lavi Somthongkham dan memberikan tiga mata pertama buat tuan rumah di Stadium Nasional, Vientiane, sebentar tadi.

Laos tampak lebih bernafsu di babak pertama menerusi beberapa asakan awal ke benteng skuad negara dan barisan pertahanan Harimau Muda juga kelihatan sedikit longgar dalam menahan asakan. Tuan rumah dilihat sangat berdisiplin ketika bertahan.

Minit ke-4 Laos sudah di depan hasil ledakkan Lavi Somthongkham selepas menerima hantaran lolos jarak jauh melepasi dua benteng skuad negara oleh Chanthavixay Khounthoumphone – jaringan pertama oleh Laos dalam pusingan kelayakan kali ini.

Turun tanpa penjaring dua gol dalam perlawanan pertama, Akid Mohd Zamri, Malaysia gagal menguji penjaga gol, Kop Lokphathip dalam 20 minit pertama. Beberapa asakan yang cuba diatur jentera serangan telah diserap dengan sangat baik oleh benteng lawan.

Minit ke-20 barulah Malaysia berjaya membuat percubaan ke gawang lawan namun tandukan lemah penyerang, Khairil Mohd Zain tidak langsung menguji Kop Lokphatip, seterusnya rembatan liar pada minit ke-22 oleh pemain tengah, Adam Uwais.

Phetdavanh Somsanid berpeluang untuk menambah jurang gol buat tuan rumah pada minit ke-36, namun Somsanid gagal melepaskan rembatan di saat akhir apabila terjatuh ketika berhadapan dengan penjaga gol, Zulhilmi Sharani.

Perlawanan terus berkisar dengan percaturan demi percaturan yang cuba diatur oleh jentera tengah dan serangan skuad Harimau Muda namun segalanya berakhir apabila bola tiba di kawasan benteng lawan – kombinasi lemah di final third skuad negara.

P. Maniam membuat pertukaran di awal babak kedua dengan memasukkan Akid Mohd Zamri untuk menambah sengat jentera serangan skuad negara dan ianya tampak sedikit berkesan. Begitupun, benteng Laos kekal fokus dan berdisiplin.

Izrin Ibrahim Malaysia B-16 AFC
FOTO: FAM

Giliran Izrin Ibrahim melepaskan rembatan liar melewati gawang gol pada minit ke-54 menggagalkan usaha untuk menyamakan kedudukan sebelum sepakan percuma yang diambil Adam Farhan gagal disambut beberapa pemain negara pada minit ke-63.

Sekali lagi, umpanan Adam Farhan menerusi sepakan percuma di minit ke-78 gagal disambut rakan sepasukan di hadapan gawang yang dikawal oleh Kop Lokphathip. Malaysia memiliki banyak sepakan percuma namun majoritinya gagal digunakan sebaiknya.

Segala perancangan terganggu dan berakhir apabila pertahanan, Alif Farhan Fauzi dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah untuk memaksa skuad negara beraksi dengan 10 pemain dalam 10 minit terakhir. Beraksi kekurangan seorang pemain semakin menyukarkan rentak skuad kendalian P. Maniam.

Dengan keputusan ini, skuad negara jatuh ke kedudukan ketiga kumpulan dan tampak semakin sukar untuk layak ke pusingan akhir. Lawan seterusnya, Jepun gah di kedudukan teratas apabila menang 8-0 ke atas Kemboja dalam aksi awal di sebelah petang.

Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN