Kelayakan AFC B-23: Malaysia Menang Tipis Ke Atas Laos

Kelayakan Piala Asia B-23

Malaysia memulakan langkah dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 dengan kemenangan apabila berjaya menewaskan Laos di Mongolia.

Beraksi dalam cuaca sejuk, skuad negara pada mulanya bermula agak perlahan dalam mencari rentak – perkara yang sama boleh dikatakan untuk Laos.

Ditambah dengan permainan dimainkan di atas padang sintetik ia menyukarkan lagi rentak permainan untuk dimainkan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk mendapatkan gol.

Separuh masa kedua menyaksikan, skuad negara melakukan perubahan dalam usaha untuk membolosi pintu gol Laos.

Kemasukan Quetin Cheng jelas sekali membuahkan hasil apabila kemasukan beliau berjaya memberikan gol buat Malaysia.

Bergerak dari sebelah kanan, Quentin melakukan hantaran lintang yang mengelirukan dan ianya berjaya menemui Azfar Fikri.

Gol dari Azfar berjaya meletakkan Malaysia 1-0 di depan pada minit ke-68.

Selepas gol itu terhasil, pasukan negara terus menguasai permainan dan berusaha untuk mendapatkan gol kedua.

Akan tetapi, ianya tidak berhasil dan Malaysia hanya berjaya mendapatkan satu gol.

Perlawanan ini juga menampakkan kualiti pengadilan yang boleh dipersoalkan dari perspektif Malaysia.

Hal ini kerana, pengadil perlawanan sepertinya sukar untuk memberikan hukuman sama ada kad kuning atau kad merah kepada pemain Laos yang jelas beraksi kasar.

Permainan keras ini boleh dilihat menerusi ketua pasukan Laos, Bounphachan Bounkong yang sering melakukan kekasaran tetapi tidak menerima kad.

Tetapi bagi ketua pasukan negara, Mukhairi Ajmal diberikan kad kuning seawal minit ketiga!

Walaupun hanya menang 1-0, Malaysia mendahului kumpulan J selepas Mongolia dan Thailand terikat seri dalam perlawanan yang diadakan lebih awal.

Fokus kini terarah kepada perlawanan menentang Mongolia. Satu lagi kemenangan, dan Malaysia berada dalam posisi terbaik untuk menjuarai kumpulan.

Keputusan penuh, Malaysia 1-0 Laos.

Kesebelasan utama

Malaysia: Azri Ghani (penjaga gol), Zikri Khalil, Harith Haiqal, Azrin Afiq, Azam Azmi Murad, Nik Akif Syahiran, Mukhairi Ajmal (ketua pasukan), Umar Hakeem, Syafik Ismail, Luqman Hakim, Azfar Fikri

Laos: Solasak Thilavong (penjaga gol), Phoutthanvong Sangvilay, Kittisak Phomvongsa, Anantaza Siphongphan, Xeedee Pomsavanh, Anousone Xaypanya, Phatana Phommathep, Kydavone Souvanny, Chony Wenpaserth, Bounphachan Bounkong (ketua pasukan), Ekkamai Ratxachak

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply