Kelantan United Sasar Rebut Tiket Ke Liga Super 2021

Dato' Che Abdullah Mat Nawi Kelantan United Liga Premier 2020

Pendatang baharu Liga Premier 2020, Kelantan United meletakkan sasaran tinggi untuk meraih promosi ke saingan Liga Super 2021 walaupun beraksi tanpa penyerang import.

Kelantan United telah melengkapkan tiga pemain import mereka untuk musim 2020 pada pertengahan Januari lalu iaitu Adil Kouskous dari Maghribi, Alyton Alemao (Brazil) dan Gassama Alfusainey (Gambia) yang bemain di posisi pertahanan dan juga posisi tengah.

Mereka mengambil keputusan untuk tidak melengkapkan empat pemain import seperti yang dibenarkan dan menyatakan akan mempertaruhkan bakat tempatan di posisi serangan.

Taruhan utama mereka pastinya Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi yang telah meledak 28 gol di saingan Liga M3 musim lalu seterusnya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak.

Presiden, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dipetik berkata kepada Bernama menjelaskan walaupun menyasarkan untuk layak ke Liga Super, namun berpuas hati sekiranya menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik Liga Premier dalam penampilan sulung mereka.

“Musim lalu kami telah mencapai sasaran untuk melayakkan diri ke saingan Liga Premier dan tahun ini kami sasar untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

“Kami satu pasukan baharu yang sederhana namun mempunyai semangat yang tinggi untuk membawa harapan peminat bola sepak negeri Kelantan dan nama negeri ini di pentas bola sepak negara,” ujarnya yang percaya dengan kemampuan Zahasmi Ismail.

Dalam pada itu, pengendali Kelantan United, Zahasmi Ismail meminta kepada para pemainnya untuk melupakan kejayaan di Liga M3 dan meningkatkan mutu permainan masing-masing untuk berdepan saingan yang lebih sengit di Liga Premier pada musim 2020 nanti.

Zahasmi Ismail turut menjelaskan sasaran yang diletakkan pihak pengurusan untuk layak ke Liga Super 2021 bukanlah satu tekanan buat dirinya dan juga pasukan namun, para pemain diminta jangan leka dengan kejayaan yang pernah diraih kerana ia adalah sejarah lalu.

Kelantan United akan membuka tirai berdepan Perak II pada 1 Mac depan di Stadium MP Manjung sebelum berdepan Kuching FA di gelanggang sendiri pada 6 Mac 2020.

KREDIT FOTO: KELANTAN UNITED FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram