Kelantan United Lulus Sijil Pelesenan Kelab FAM

Selepas sabar menunggu, Kelantan United akhirnya boleh menarik nafas lega selepas menerima perkhabaran status kelulusan sijil pelesenan kelab dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah diluluskan bagi membolehkan pasukan yang berpangkalan di Kota Bharu itu beraksi di saingan Liga Premier pada musim ini.

Perkembangan tersebut ternyata satu berita gembira buat semua penyokong Kelantan United yang tidak sabar untuk melihat satu lagi pasukan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu beraksi di kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman dalam kenyataannya telah mengesahkan perkara itu seperti yang dilaporkan oleh unit media menerusi akaun media sosial rasmi kelab berkenaan.

“Pihak Kelantan United Football Club (KUFC) merakamkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) kerana sentiasa berhubung dan membantu memudahkan urusan kelab sepanjang permohonan lesen kebangsaan.”

Pihaknya lebih awal lagi yakin pelesenan kelab tersebut akan diluluskan memandangkan pengurusan Kelantan United sebelum ini telah menyelesaikan segala urusan melibatkan penyediaan dokumen yang diminta oleh FAM dan yang lebih penting pasukan tersebut tidak menanggung sebarang bebanan hutang.

Sehubungan itu, skuad bimbingan Zahasmi Ismail kini boleh melakukan persiapan rapi sebelum tirai liga dibuka dengan rasminya bermula 28 Februari 2020.

Kelantan United kini sedang menguji beberapa pemain import dan tempatan  yang dipercayai mampu memperkuatkan pasukan untuk memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain terutamanya dalam saingan Liga Premier.

Menurut setiausaha kehormat kelab, Anas Karimi Ahmad Thani, pihak pengurusan skuad Kijang Hijau itu kini dalam proses akhir untuk melengkapkan barisan pemain dan pasukan tersebut akan kekal dengan dasar yang mengamalkan perbelanjaan berhemah.

“Kita hampir menyelesaikan senarai pemain tempatan manakala pemilihan pemain import yang akan direkrut masuk turut dibincangkan dimana kita telah memasuki fasa akhir untuk memuktamadkan pemain mana yang akan dipilih berdasarkan kemahuan ketua jurulatih”.

Untuk rekod, Kelantan United FC layak beraksi di Liga Premier secara merit selepas menamatkan saingan liga M3 di kedudukan pertama dengan mengutip 66 mata dari 26 perlawanan.

Kredit Foto: Kelantan United FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram