Kelantan United Belum Menyerah Kalah

Zafuan Azeman Kelantan United

Sekalipun Kelantan United telah tewas dalam dua perlawanan Piala Malaysia, ia tidak mematahkan semangat Zafuan Azeman untuk terus membantu pasukannya meraih keputusan positif untuk baki perlawanan peringkat kumpulan.

Namun bekas pemain kelab Divisyen Tiga Thailand, Anthong FC ini perlu bersaing dengan beberapa penyerang lain seperti Fakhrul Zaman, Alfusainey Gassama dan Masashi Motoyama untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Tiga penyerang tersebut ternyata lebih mendapat perhatian serta menjadi pilihan jurulatih Nazrul Erwan Makmuar untuk diturunkan/

Apatah lagi, aksi Gassama sepanjang aksi Liga Premier musim ini ternyata tidak mengecewakan selepas berjaya meledak 11 gol manakala Fakhrul dengan dua gol dalam 20 perlawanan. Manakala, Zafuan yang dipinjamkan dari Penang pula hanya sempat membuat enam penampilan sahaja dalam saingan liga.

Namun, itu tidak menghalangnya untuk terus berusaha bagi memastikan dia berpeluang membuktikan kemampuan dalam baki perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia sebaik sahaja saingan bersambung pada 29 Oktober ini.

“Saya sempat beraksi untuk enam perlawanan sahaja, tetapi ada juga saya diletakkan sebagai pemain simpanan, cuma peluang untuk diturunkan agak sengit,” ujar penyerang berusia 22 tahun itu kepada media MFL.

“Tetapi, saya tidak akan putus asa untuk berusaha sebab Piala Malaysia masih ada lagi empat perlawanan selepas ini, jadi saya memang sasarkan untuk rebut peluang bermain.

“Penyerang-penyerang lain juga semuanya memang berkualiti dan saya anggap ini sebagai persaingan yang sihat untuk cuba merebut tempat”, jelasnya.

Kelantan United kini masih belum mengutip sebarang mata selepas tewas kepada Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC.

Namun, Zafuan tidak melihat peluang pasukan terus terkubur sebaliknya percaya mereka akan tampil dengan motivasi lebih tinggi terutamanya tempoh rehat yang ada selama hampir sebulan ini cukup untuk pasukan memperbaiki kelemahan.

“Memang kita boleh tengok pasukan kita berada dalam kumpulan yang semuanya pasukan hebat bertanding, jadi bukan mudah,” ujarnya lagi.

“Tetapi, saya dan semua pemain sentiasa positif untuk bersaing, jadi selagi perlawanan masih ada, selagi itu kami akan bekerja keras untuk cuba mendapatkan kemenangan.”

Zafuan Azeman yang merupakan bekas penyerang skuad kebangsaan bawah 19 tahun pernah mencipta sensasi apabila dipilih untuk menjalani ujian pemilihan dengan kelab Korea Selatan, Yangju Citizen FC.

Beliau kemudian sempat bermain di Thailand bersama Angthong FC sebelum kontraknya dibatalkan disebabkan kelab tersebut menghadapi krisis kewangan dan penggantungan liga akibat pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun lalu.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply