Kelantan FA Hanya Selesaikan Gaji Pemain Senior, Tidak Buat Pemain Belia?

Kelantan

Masih ingat dengan laporan kami kira-kira sebulan yang lalu berkenaan masalah gaji para pemain pasukan Piala Belia untuk Kelantan FA?

Lebih satu bulan sahaja lagi sebelum bermulanya sepak mula Liga Malaysia 2020, begitupun masalah lama masih lagi belum menemui jawapan.

Sekali lagi, Semuanya BOLA dihubungi, kali ini menerusi dua orang pemain pasukan tersebut mengadu bahawa gaji tertunggak mereka selama lima bulan masih belum diselesaikan oleh majikan mereka.

Laporan kami sebelum ini berkenaan masalah gaji skuad belia Kelantan FA

Kedua-dua pemain pasukan tersebut yang enggan namanya didedahkan memberitahu kami bahawa hanya janji manis ditabur oleh pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkenaan masalah gaji mereka.

Menurut perkembangan terbaru, KAFA menyatakan kepada mereka bahawa tunggakan gaji sebelum ini akan diselesaikan sebelum 31 Januari depan.

Namun, perkara tersebut hanya akan berlaku untuk skuad utama Kelantan FA yang beraksi dalam Liga Premier Malaysia sahaja, manakala tiada perkembangan berkenaan bayaran tunggakan gaji untuk skuad Bawah 19 yang beraksi dalam Piala Belia.

Bukan itu sahaja, pemain Piala Presiden turut mengalami nasib sama, juga jawapan yang sama iaitu masih tiada jawapan berkenaan bilakah masalah gaji mereka akan diselesaikan.

Jika memang inilah jawapan akhir dari KAFA dan tiada lagi jawapan lain, tentunya perkara ini tidak adil buat ramai pihak. Hal ini kerana, pemain-pemain yang beraksi buat nama Kelantan FA bukan sahaja para pemain senior untuk skuad Liga Premier, tetapi pemain-pemain ‘ubi’ yang beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia juga mengerah tenaga demi lencana di dada untuk bermain bersama pasukan ini dan mereka juga dijanjikan bayaran sebagaimana yang termaktub dalam kontrak mereka sebelum ini.

Lima bulan bukanlah satu tempoh yang singkat, bahkan para pemain ini turut mengadu kepada kami bahawa ramai antara mereka bukanlah dari golongan yang senang.

Bahkan lagi, Kelantan FA juga disebut salah satu pasukan berisiko dihukum dengan hukuman lebih berat. Andai tunggakan gaji ini belum diselesaikan, tentunya ia memburukkan lagi nama pasukan mereka.

Semoga pihak berwajib cakna dengan isu ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana isu-isu sebegini juga secara tidak langsung memberikan nama buruk buat bola sepak Malaysia yang semakin berkembang ketika ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram