Kelantan Buru Awang Import Dari Afrika

Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilaporkan sudah mengenal pasti beberapa pemain import memperkuatkan barisan pemain The Red Warriors (TRW).

Presiden KAFA, Wan Abd Rahim Wan Abdullah yang ditemubual oleh agensi berita Sinar Harian memaklumkan, antara pemain import yang menjadi sasaran mereka adalah daripada Nigeria, Liberia, Senegal dan Kyrgystan.

Beliau percaya dengan pemilihan yang teliti, pemain import berkualiti yang akan diambil mampu memulihkan semula imej pasukan bola sepak itu yang akan bersaing dalam beraksi dalam Liga Premier untuk musim 2020.

Kredit Foto: Kelantan FA Official

“Di samping mengenal pasti pemain import, KAFA turut mengintai beberapa pemain tempatan, yang sudah melakar nama dalam Liga M musim ini, untuk dibawa ke TRW sekurang-kurangnya dua orang, manakala sebahagian besar pemain pada musim ini terus dikekalkan.

“Nama pemain tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat, selepas kami meneliti semua senarai cadangan yang dikemukan ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah pada mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutif KAFA, 15 Disember ini,” katanya.

Wan Abd Rahim ditemui dalam sebuah majlis penyerahan replika cek oleh syarikat penjual kenderaan, Rasniaga Sdn Bhd yang menyerahkan tajaan motosikal bernilai RM100,000 kepada KAFA.

“Terima kasih kepada pihak Rasniaga di atas penajaan kepada skuad The Red Warriors dan juga sudi menaja sebuah motosikal, sebagai hadiah cabutan bertuah untuk pembeli tiket semusim.

“Peminat bola sepak negara bukan sahaja bakal menyaksikan barisan pemain yang baharu malah berpeluang memenangi motosikal tersebut menerusi pembelian tiket yang akan dijual bermula bulan hadapan”, katanya.

Pasukan Kelantan dalam beberapa musim kebelakangan ini dilanda pelbagai isu terutamanya melibatkan masalah kewangan dan masih menanggung beban hutang yang tinggi. Pasukan itu menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 11 pasukan Liga Premier musim ini dan terselamat daripada penyingkiran.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram