Dari Kelahiran Sehingga Lena Yang Panjang, Ini Kisah Gergasi Bola Sepak Borneo Di Liga Malaysia

“Seperti sejarah yang telah dilupakan, bagaikan memori yang telah dipadam. Ibarat gergasi yang terlena panjang, bangunnya ntah bila.”

Demikianlah ungkapan terbaik untuk menjelaskan pengertian ‘Derbi Borneo’ kepada anak-anak muda – peminat dan penyokong bola sepak di Malaysia dewasa ini. Semangatnya hilang, jiwanya kosong. Ungkapan ‘Derbi Borneo’ pada hari ini bagaikan sekadar untuk merujuk perseteruan setempat dua pasukan bola sepak dari Borneo. Tiada perseteruan, hangatnya dingin, taruhanya sifar.

Pada Sabtu lalu, Liga Premier menemukan Sabah dan Sarawak di Kuching yang berakhir dengan kemenangan 2-1 kepada pasukan pelawat. Kelibat sekumpulan penyokong Sabah yang datang untuk memberikan sokongan kepada pasukan negeri mereka sedikit sebanyak menyingkap memori lalu.

Kehadiran di kalangan penyokong Sarawak juga boleh dianggap positif. Terlintas di dalam pemikiran penulis,“masih punyai nafas lagi kedua-dua pasukan.”

Bola sepak di Borneo

Sejarah pasukan-pasukan di Borneo bermula seawal 1950 an lagi atau pun lebih awal daripada itu. Tiada rekod jelas yang mengisahkan perlawanan kompetitif bola sepak di Borneo sebelum era tersebut dengan jelas.

Kejohanan Bola Sepak di Borneo mula dimainkan oleh pegawai-pegawai British yang hadir untuk mengambil alih pemerintahan British North Borneo Chartered Company pada tahun 1946- sejurus selepas tamat Perang Dunia II. Kejohanan dipercayai disertai oleh pegawai-pegawai British sahaja pada ketika itu, dan merupakan acara tahunan yang turut menarik perhatian warga tempatan.

PASUKAN dari Borneo turut pernah menjadi kuasa besar Liga M sejak 1989 hasil dari kejayaan Piala Borneo yang banyak menghasilkan potensi pemain yang amat berbakat. – Foto ihsan blog chedinsphere

Ia dijenamakan semula kepada Piala Borneo pada 1962, atas usaha kelab bola sepak tertua di Borneo pada ketika iaitu Kuching Wanderers FC. Pada hari ini Kuching Wanderers adalah Persatuan Bola Sepak Kuching (Kuching FA)- yang memiliki pasukan bersaing di Liga M3 negara. Persatuan itu boleh dikatakan sebagai pelopor kepada kejohanan Piala Borneo pada bermula pada 1960an.

Sabah yang masih dikenali sebagai North Borneo menjadi juara sulung rasmi kejohanan tersebut pada 1962. Dominasi Sabah berterusan sehingga muncul juara sebanyak 13 kali.

PIALA Borneo turut melahirkan ramai bakat bola sepak dari Borneo pada zaman kegemilangan kejohanan itu. – Foto ihsan blog chedinsphere

Sarawak pula bergelar juara sebanyak 7 kali, tatkala Brunei turut tidak ketinggalan bergelar juara sebanyak 3 kali – termasuk pada dua edisi terakhir kejohanan diadakan.

Selepas 27 tahun, Piala Borneo tidak lagi dianjurkan tatkala ketiga-tiga pasukan mulai memberikan komitmen terhadap penyertaan di saingan Liga Malaysia (Liga semi pro) mulai 1989.

Sejarah pembabitan di Liga Malaysia

Walaupun Sabah dan Sarawak secara rasmi membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963, kedua-dua negeri bagaimanapun tidak menyertai mana-mana pertandingan membabitkan pasukan dari Tanah Melayu pada ketika itu.

Piala Malaysia merupakan satu-satunya pertandingan yang telah wujud dan dipertandingkan di Tanah Melayu sejak 1921. Namun sejarah penyertaan Sabah dan Sarawak hanya bermula pada lewat 1970 an. Banyak faktor dan kekangan yang harus diambil kira pada ketika itu. Faktor logistik dan kewangan adalah dua masalah utama untuk membenarkan pasukan bertandang ke tempat lawan.

Allahyarham Datuk Taha Ariffin bersama Dahlan Matusin (depan) dan Zaidel Sakup (belakang) adalah individu di sebalik kebangkitan bola sepak Sarawak sejak 1970an.

Untuk membenarkan Sabah dan Sarawak turut bertanding dalam kejohanan peringkat nasional, kedua-dua pasukan terpaksa mengharapkan bantuan seperti dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), atau pun peruntukan khusus dari kerajaan negeri sekiranya ada. Sukar untuk membayangkan kedua-dua pasukan mendapatkan tajaan dari syarikat-syarikat koporat sebagaimana di era moden seperti pada hari ini.

Keratan akhbar New Nation, 2ogb September 1977.

Sabah terlebih dahulu bertanding di kejohanan Piala Malaysia pada 1978 selaku juara Piala Borneo pada 1977. Buat seketika Piala Borneo telah menjadi pusingan kelayakan ke pertandingan Piala Malaysia untuk zon timur Malaysia (Borneo). Manakala pasukan negeri jiran, Sarawak hanya melakukan penampilan pertama di Piala Malaysia pada 1979.

Keratan akhbar The Strait Times, 28 October 1978.

Sarawak FA pada ketika itu dibimbing oleh jurulatih Poasa Sahar, dan antara pemain yang membintangi skuad Bumi Kenyalang pada era tersebut ialah seperti James Yaakub, Awang Mahyan, Pengiran Bala da ramai lagi. James Wong, Hassan Sani dan Peter Rajah pula adalah antara nama-nama awal yang mulai mencipta nama bersama pasukan Sabah.

Hakikatnya nama-nama ini mulai mencipta nama di

Pasukan Borneo Di Liga Malaysia

Tidak ada rekod nyata yang menulis mengenai perseteruan bola sepak di kepulauan Borneo. Di dalam konteks Liga Malaysia, tiga pasukan utama yang pernah mewarnai ‘Derbi Borneo’ adalah Sarawak, Sabah dan juga Brunei. Ketiga-tiga

Brunei yang pernah beraksi di Liga Malaysia selaku pasukan jemputan, pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1999, setelah menewaskan Sarawak 2-1 di perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Merdeka. Itulah perlawanan akhir terakhir pertandingan agung bola sepak negara yang diadakan di stadium keramat tersebut.

Sarawak turut pernah melalui zaman gemilang di kancah saingan domestik. Muncul juara Piala FA pada 1992 di era Ngap Sayot, pasukan yang turut dikenali sebagai skuad Bujang Senang muncul juara Liga Perdana Malaysia pada 1997. Pada ketika itu Liga Perdana Malaysia adalah divisyen teratas pertandingan bola sepak di negara ini, sebelum ianya dijenamakan semula kepada Liga Super Malaysia 2004, dan Liga Premier/Perdana menjadi saingan divisyen kedua.

Sabah

Sabah mungkin dianggap pasukan paling berjaya di kalangan ketiga-tiga pasukan; sekiranya tempoh dominasi sebagai antara pencabar utama Liga Malaysia diambil kira. Tiga kali muncul naib juara Piala Malaysia; juara liga pada 1996; dan juara Piala FA pada 1995, skuad negeri di bawah bayu turut pernah muncul di tiga perlawanan akhir Piala FA yang lain.

Bintang bola sepak Borneo

Perseteruan Derbi Borneo unik dengan caranya yang tersendiri. Di atas padang sepanjang 90 minit perlawanan, kemenangan seperti diantara hidup dan mati. Tamat perlawanan, kedua-dua pasukan mempunyai rasa hormat terhadap satu sama lain yang sukar kita jelaskan dengan kata-kata. Mungkin itu adalah kerana sifat ‘kekitaan’ yang hanya boleh difahami oleh penduduk sesama Borneo.

Pertemuan di antara Sabah dan Sarawak lebih banyak mencuri tumpuan, berbanding dengan pertemuan kedua-dua pasukan itu dengan Brunei – sehinggalah pasukan jemputan itu turut menjadi kuasa besar bola sepak negara pada lewat 1990an.

Kelibat Brian Bothwell dan Patron Akapo dikawal pemain Sarawak di perlawanan akhir Piala Malaysia 1999.

Brunei di bawah bimbingan David Booth, pernah membawa Brunei mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia pada 1996 dan 1997 – sebelum muncul juara pada 1999 dibawah kendalian Mike Jones. Dua pemain import yang cukup digeruni di era emas Brunei di Liga Malaysia pada ketika itu adalah Brian Bothwell dan juga Patron Akapo.

Brunei kemudiannya meninggalkan Liga Malaysia pada 2005 sebelum digantikan dengan pasukan berstatus kelab, Brunei DPMM diantara 2006 sehingga 2008. Tiada lagi wakil dari Brunei di pertandingan Liga Malaysia selepas itu setelah Brunei DPMM menyertai Liga Singapura.

Sabah dan Sarawak juga tidak kurang hebatnya. John Hunter, Jeff Curran, David Evans dan Alistair Edwards adalah antara pemain import yang pernah menyinar sejak dari era Ngap Sayot.

Kredit: chedinsphre.blogspot

Manakala kelibat pemain seperti Scott Ollerenshaw dan Seslija Milomir turut pernah menjadi tunjang skuad negeri di bawah bayu satu ketika dahulu. Tidak dilupakan juga kelibat pemain tempatan seperti Harun Laban, Suharmin Yusof, dan Mohd Jaya Kasim (Sabah), Zapri Manai, Ali Shafie, Affendi Julaihi, (Sarawak FA) dan juga Rosli Liman, Rosanan Samak, dan Nordin Tujoh (Brunei FA).

Antara pemain dari semenanjung yang turut pernah mencipta nama bersama Sabah dan Sarawak pula ialah Mazelan Wahid, Sapian Wahid, Shamsurin Abdul Rahman, Yap Wai Loon dan Khairul Azman Mohamed.

Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee pula pernah menyarung jersi kedua-dua pasukan.  Beraksi untuk Sarawak selama dua tahun dari 1992 sehingga 1993, beliau yang berasal dari Melaka itu kemudiannya menyarung jersi Sabah di antara tahun 1994 sehingga 1997.

Nama-nama lain yang turut pernah menyarung jersi kedua-dua pasukan ialah seperti Ronny Harun, Bobby Gonzalez, Jelius Ating, Rozaimi Abd Rahman, Mafry Balang dan juga Gapor Mohamad.

Perpindahan Bobby Chua daripada Sabah ke Sarawak turut pernah mencetuskan sedikit kontroversi di antara kedua-dua pasukan setelah pada mulanya Sabah enggan melepaskan pemain tersebut, sebelum memebenarkan Bobby pergi dengan nilai RM9.95 pada 1998.

Cabaran bola sepak moden

Istilah bola sepak moden bukan sahaja berkisar kepada taktikal yang dipamerkan di atas padang. Ia juga mengenai sistem pengurusan berinovasi tinggi – melibatkan perkara-perkara lain yang tidak pernah kita fikirkan berbanding era 70an seperti agenda komersil, sains sukan, dan etika profesional yang menuntut setiap unit yang terlibat memberikan komitmen 100%.

Sumber: KAFA, Facebook.

Bola sepak di Borneo sebenarnya masih mempunyai nafas. Rodney Calvin dan Tommy Mawat (PKNS FC); Ashri Chuchu (Kuala Lumpur) Filemon Anyie (PKNP FC), Rozaimi Abd Rahman (JDTII) adalah antara pemain-pemain dari Sabah dan Sarawak yang mencipta nama bersama pasukan-pasukan di Semenanjung. Rawilson Batuil turut dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan pada tahun lalu.

Rumusan

Bola sepak di kedua-dua negeri berkenaan seolah-olah seperti mencari identiti yang hilang. Isunya bukan kerana si tembadau atau pun badak. Kenyalang atau pun Bujang Senang. Lebih daripada itu, tampuk kepimpinan di kedua-dua persatuan mempunyai tanggungjawab yang cukup mencabar sekiranya mahu melihat pasukan masing-masing kembali bangkit selaku pencabar utama bola sepak tanah air.

Pertamanya, haruslah mereka memahami cabaran-cabaran yang ada di dalam bola sepak moden. Kemudiannya, ikhlas melakukan kerja membangunkan bola sepak di negeri masing-masing. Anda tidak perlu menjadi seperti JDT, Kedah atau pun Pahang FA untuk berjaya. Sebaliknya bangkit dengan acuan tersendiri- identiti sendiri, tanpa perlu identikal dengan yang lain. Usah terperangkap dengan isu semasa yang hanya akan membuang masa.

Sedarilah. Tempoh 22 tahun sejak kali terakhir trofi utama di dalam pertandingan domestik merentasi Laut China Selatan adalah satu tempoh yang cukup lama. Gergasi-gergasi itu sudah terlalu lama lena.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram