Kelab Liga Utama Thailand, Indonesia Bakal Uji Skuad Futsal Perak

Futsal Perak

Pasukan Futsal Perak bakal menikmati ujian pra-musim yang cukup berkualiti menjelang musim baharu apabila akan bersaing dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa Powernet 2020.

Kejohanan yang dianjurkan Sportsone Empire dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Pasukan lelaki yang dibimbing Azizi Musa bakal merebut Piala Raja Iskandar Dzurkarnain manakala Piala Raja Nazhatul Shima pula menjadi buruan pasukan wanita.

Saingan yang bakal bermula Rabu itu menampilkan kelab Thailand, CAT Futsal Club, Bank Sumut Cabkor Medan (Indonesia) dan Shah United dari Brunei bagi kategori lelaki.

CAT Futsal Club merupakan kelab yang akan beraksi dalam divisyen utama Liga Futsal Thailand 2020 manakala Bank Sumut Cabkor Medan pula kini sedang bersaing dalam Liga Futsal Profesional Indonesia.

Sementara itu, Inspire Medan Futsal Club dari Indonesia dan kelab Singapura, EL’ Junior Westwood akan menjadi lawan yang bakal ditentang pasukan wanita Perak.

Kejohanan yang menampilkan Powernet selaku penaja utama itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM20,000 menanti pasukan juara manakala RM10,000 untuk naib juara kategori lelaki. Juara katogri wanita pula akan menerima RM10,000 dan naib juara RM6,000.

Di samping merebut hadiah kemenangan, kejohanan ini mampu untuk menjadi medan terbaik buat pasukan futsal Perak dalam usaha mempersiapkan pasukan yang mantap bagi menghadapi kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2020.

Kredit foto: Perak Futsal 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram