Kelab Lawan Sanggup Bantu Barcelona “Top-Up” Gaji Messi Untuk Kekal Di La Liga

Lionel Messi berhadapan kemungkinan gaji beliau dibayar oleh kelab-kelab lain yang bertanding di La Liga selepas Barcelona dilihat bergelut untuk menyediakan kontrak baharu untuk pemain itu.

Messi kini adalah ejen bebas setelah kontrak beliau tamat sejak 1 Julai lalu. Sehingga kini Messi belum lagi mencapai sebarang persetujuan untuk menyambung sebarang kontrak baharu untuk terus kekal di Nou Camp.

Antara punca tersebut ialah disebabkan Barcelona yang jauh dari kemampuan untuk membayar gaji Messi, dan terpaksa menurunkan siling gaji di Nou Camp sebelum boleh berbuat demikian. Ini bermakna kelab Catalan itu juga perlu melepaskan beberapa pemain untuk mengukuhkan aliran kewangan.

Jika gagal berbuat demikian dalam masa terdekat, ini juga bermakna kemungkinan besar Messi terpaksa meninggalkan La Liga dan terpaksa mencari tempat lain untuk meneruskan karier beliau.

Menurut perkhabaran dari Sepanyol keadaan terkini amat buruk buat pengendali, Ronald Koeman sehingga ada laporan yang mengatakan Barcelona terpaksa melepaskan Antoine Griezmann untuk menstabilkan kewangan mereka.

Keadaan mungkij berubah sekiranya laporan beberapa kelab La Liga berpakat untuk membantu Barcelona membayar gaji Messi. Idea tersebut kedengaran agak pelik dan tidak pernah berlaku, namun tindakan kelab-kelab tersebut dipercayai kerana mereka berpendapat Messi mampu memberi keuntungan dari segi kewangan kepada pertandingan domestik di Sepanyol.

“Sudah ada beberapa presiden (golongan elit) dari beberapa kelab di Sepanyol menyatakan kesediaan untuk menyumbang demi membantu membayar gaji Messi di Barcelona. Ini demi mengekalkan pemain itu di Sepanyol,” dedah wartawan Roberto Gomez kepada stesen radio El Transistor.

“Mereka percaya ia bagus untuk Barcelona dan juga pertandingan di Sepanyol.”

Sukar memikirkan seteru terdekat seperti Real Madrid atau Atletico Madrid akan berbuat demikian, tetapi ia mungkin akan dilakukan oleh beberapa kelab di pertengahan dan bawahan liga yang menyedari nilai pemain itu dari segi bayaran hak penyiaran dan nilai komersil yang dipengaruhi Messi.

Situasi tersebut pasti perkara yang memalukan buat juara 26 kali liga Sepanyol itu jika mereka terpaksa mengharapkan bantuan demi mengekalkan pemain terbaik dan kapten pasukan untuk saingan musim hadapan.

Tapi siapa tahu apa yang sanggup dilakukan Barcelona jika bakal kehilangan penjaring terbanyak dan pemain terbaik sepanjang zaman mereka.

Messi kini segar daripada kejuaraan Copa America yang dimenangi bersama Argentina pada pagi tadi.

Presiden Barcelona sebelum ini turut mengakui situasi Messi amat sukar pada masa ini dengan peraturan kewangan dari La Liga juga amat ketat.

“Saya mahu berkata semuanya sudah selesai, tetapi ia tidak semudah itu. Perbincangan berjalan dengan lancar buat masa ini, tetapi ia belum berakhir,” kata Laporta baru-baru ini.

“Ideanya ialah untuk mencapai titik persetujuan secepat mungkin. Kami yakin beliau juga mahu kekal [bersama Barcelona].”

 

Baca artikel menarik lain mengenai Lionel Messi:

4 Perkara Di Sebalik Pendedahan ‘Penuh Kontroversi’ Kontrak Messi Oleh El Mundo

Senarai Kereta Mewah Dibeli Messi Sejak Beraksi Bersama Barcelona

Ini ‘Manifesto’ Calon Presiden Barcelona Tentang Masa Depan Lionel Messi

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply