Kelab Paling Berjaya Merujuk Kepada Sejarah, Selangor Masih Jauh Mendahului JDT

Selangor JDT

Saya merupakan seorang penyokong tegar Selangor. Hari ini saya terbaca satu berita yang diterbitkan oleh Astro Awani mengenai temubual pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersama Hafizal Hamad dalam rancangan Nindia Bola.

Menurutnya JDT atau nama jolokannya Harimau Selatan merupakan pasukan terbesar di Malaysia ketika ini. Dakwaan itu dikeluarkan bagi menjawab kenyataan penyerang Selangor, Ifedayo Olesegun dalam rancangan Man on The Streeet pada April lalu.

Ifedayo menjelaskan Selangor merupakan kelab terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah piala yang pernah dimenangi pasukan itu sepanjang sejarah mereka dalam Liga Malaysia.

TMJ kemudian membalas kenyataan tersebut dengan memberikan satu demi satu hujahnya dengan membuat perbandingan di antara kedua-dua pasukan.

Stadium, kejayaan mencatat hatrik kejuaraan, rekod tanpa kalah dalam liga, rekod jaringan dan bolos terbaik, kejayaan menjuarai Piala AFC, pencapaian beraksi di Liga Juara-Juara Asia, jumlah pengikut di media sosial dan nilai komersial.

Untuk rekod, koleksi trofi milik Selangor adalah tujuh kejuaraan liga utama, 33 Piala Malaysia, lima Piala FA dan lapan Piala Sumbangsih. Ini tidak tidak termasuk trofi kejohanan yang lebih ‘kecil’ seperti divisyen kedua dan Piala FAM.

Jika dikumpulkan semua kejuaraan utama ini, Selangor masih jauh mendahului JDT yang kini berada pada zaman kegemilangannya.

Jika JDT berbangga dengan pencapaian menjulang Piala AFC beberapa tahun lalu, Selangor pula pernah mencatat sejarah yang lebih gemilang iaitu beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab-Kelab Asia pada 1967 yang menyamai kejohanan Liga Juara-Juara Asia pada hari ini.

Ia boleh diibaratkan seperti JDT pernah menjuarai Liga Europa (UEL) sementara Selangor pula pernah beraksi di pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang merupakan kejohanan paling berprestij di benua Eropah.

Jika ada yang bertanya kelab manakah yang paling berjaya di England, tentunya kebanyakan peminat bola sepak tahu ianya adalah Manchester United dan Liverpool kerana masing-masing bersaing rapat dengan mengumpul 66 dan 65 trofi kejuaraan.

Begitu juga dengan permusuhan dua kelab bola sepak paling berjaya di Sepanyol iaitu Barcelona masih unggul dengan 97 trofi manakala Real Madrid pula mengikuti rapat dengan 95 trofi.

Tetapi di Malaysia, agak sukar untuk meletakkan JDT berdiri sama tinggi dengan Selangor memandangkan pasukan itu baru sahaja muncul sebagai kuasa baharu dalam arena bola sepak negara.

Untuk perbandingan yang lebih adil, mungkin JDT boleh dianggap seperti Manchester City di England. Meskipun mereka dilihat lebih banyak menguasai kejuaraan beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah trofi yang dikumpul setakat ini hanyalah 26.

Maka sudah tentu City masih jauh untuk menjadi kelab paling berjaya di England.

Mengenai stadium, di Itali hanya empat pasukan Serie A sahaja yang memiliki stadium sendiri iaitu Juventus (Stadium Allianz), Sassuolo (Stadium Mapei), Udinese (Dacia Arena) dan Atalanta (Stadium Bergamo).

Dua kelab ternama AC dan Inter Milan juga tidak mempunyai stadiumnya sendiri dengan mereka berkongsi San Siro yang merupakan milik Majlis Bandaraya Milan.

Tiada sesiapa di sana yang memperolokkan atau merendahkan kedua-dua kelab ini kerana mereka masih di antara kelab paling berjaya di Itali di belakang Juventus dari sudut jumlah trofi yang telah dimenangi.

Mengenai pusat latihan pula, mungkin media akan highlight mengenai kecanggihan pusat latihan sesebuah pasukan, tetapi ia bukanlah penanda aras paling utama kepada kejayaan sesebuah pasukan.

Tiada apa yang salah mengenai kenyataan Ifedayo itu, Malah TMJ sendiri mengakui dari segi sejarah sememangnya Selangor merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Apa yang perlu dilakukan JDT kini adalah mendapatkan satu demi satu kejuaraan agar jumlahnya mampu menyamai atau memintas Selangor satu hari nanti.

Arjuna Wijaya merupakan penyokong Selangor kelahiran Tanjong Karang yang gagal mewarisi kemampuan berbahasa Jawa dari ayahnya.

Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis yang tidak mencerminkan pendirian Semuanya BOLA.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Selangor:

Ifedayo Anggap Hanya Selangor Pasukan Terhebat Di Malaysia

Azman Adnan, Penyerang Bernilai RM1 Juta Yang Dipancing Selangor

Kisah ‘Rapper’ Romania Yang Ditakdirkan Menyarung Jersi Selangor

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply