Kejuaraan Futsal AFF 2019: Khairul Effendy Tagih Fokus Rakan Sepasukan Menjelang Aksi Sebenar

Futsal

Kapten skuad futsal negara, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin menagih semangat juang serta fokus yang tinggi daripada rakan sepasukannya menjelang Kejuaraan Futsal AFF 2019 di Ho Chi Minh yang bermula 21 Oktober nanti.

Saingan di Vietnam tersebut juga sangat penting buat skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu apabila ia menawarkan tiket ke Kejuaraan Futsal AFC 2020 di Turkmenistan bagi pasukan yang menamatkan saingan di tiga tempat teratas.

Moral pemain skuad negara kini berada di tahap terbaik selepas berjaya menjuarai kejohanan jemputan empat negara ‘The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019’ di Chengdu, China.

Khairul Effendy dan rakan sepasukannya mencatatkan kemenangan 9-2 keatas Mexico dan terikat 4-4 menentang China serta 2-2 pada aksi terakhir bertemu Myanmar untuk meletakkan mereka selaku juara dengan kelebihan jaringan berbanding tuan rumah.

”Pertamanya, syukur Alhamdulillah walaupun dengan waktu latihan yang cukup singkat, Malaysia masih mampu untuk menjuarai pertandingan di China,” ujar Khairul Effendy ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA.

Khairul Effendy Bahrin 

”Saya mengharapkan momentum ini dapat diteruskan dan semua pemain dapat memberikan fokus yang tinggi ketika sesi latihan menjelang aksi sebenar di Vietnam.”

”Kami akan menghadapi satu lagi pertandingan di China sebelum berangkat ke Vietnam, jadi diharapkan kejohanan itu nanti dapat membantu persiapan kami dalam memantapkan pasukan di Kejuaraan Futsal AFF nanti.”

Di Vietnam, skuad negara diletakkan dalam kumpulan B yang boleh dikatakan sebagai kumpulan maut apabila berada bersama-sama dengan Vietnam, Australia dan Indonesia.

”Peluang untuk kita berada pada kedudukan tiga pasukan teratas tampak sedikit sukar tetapi ia tidak mustahil untuk digapai. Setiap pemain perlu menganggap semua perlawanan adalah perlawanan akhir kerana semua pasukan yang bakal dihadapi [peringkat kumpulan] bukanlah pasukan yang mudah.”

”Cuma kami belum pernah bertemu Australia sejak pasukan ini dikendalikan oleh ‘coach’ Yong, jadi saya amat berharap dengan sistem permainan yang diterapkannya mampu untuk kita menumpaskan Australia.”

Kredit foto: FAM & Khairul Effendy Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram