Kejohanan AFC B-16: Sentuhan ‘Ala Jerman’ Jadi Taruhan Skuad Lim Teong Kim

Skuad bawah 16 tahun negara kendalian Lim Teong Kim kini dalam persiapan terakhir menjelang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 tahun (B-16) yang akan bermula pada hari Khamis ini.

Pasukan yang dibentuk melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu menyasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir bagi menempah tiket beraksi dalam kejohanan Piala Dunia B-17 tahun depan.

Berdasarkan rekod kejohanan, Malaysia hampir melakukannya apabila skuad bawah 16 tahun negara kendalian S Balachandran tewas tipis kepada Korea Selatan di peringkat suku akhir pada tahun 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar berkata kepada Berita Harian, walaupun pelbagai pihak menganggap skuad Lim Teong Kim adalah generasi emas negara, beliau lebih mempercayai pemain skuad 2014 sebenarnya lebih berkualiti dan memiliki bakat semulajadi terbaik.

“Skuad S Balachandran yang terkandas di suku akhir pada tahun 2014 pada hemat saya adalah generasi pemain yang lebih berbakat.

“Skuad kendalian Teong Kim pula lebih banyak bergantung kepada gerakan berpasukan dan mempunyai disiplin taktikal yang tinggi.

“Tetapi masalah pasukan ini ialah keyakinan diri. Mereka perlu lebih yakin dan berani untuk bersaing dengan pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Mereka harus mengelak daripada sindrom ‘bunuh diri’ seperti yang terjadi ketika tewas kepada Jepun ketika kelayakan AFC tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Skuad NFDP Untuk Kejohana  AFF B-15 2017. Foto: NFDP Malaysia.

Bagaimanapun, Safirul yakin skuad ini mempunyai ramuan tersendiri dengan sentuhan ‘ala Jerman’ Teong Kim yang pernah menjadi jurulatih skuad remaja Bayern Munich selama 12 tahun dengan melahirkan bintang bola sepak dunia, Thomas Muller.

“Pasukan ini mempunyai tiga pemain serangan yang amat pantas dan berbakat besar. Luqman Hakim, Amirul Azzim dan Najmuddin baru berusia 15 tahun. Sekiranya mereka berada pada prestasi terbaik, mereka boleh merobek pertahanan mana-mana pasukan kebangsaan di Asia,” katanya.

Lebih menarik, anak kepada bekas kapten skuad Harimau Malaya, Kaironnisam Sahabuddin iaitu Firdaus Kaironnisam turut terpilih mewakili negara dan beraksi di posisi tengah berbanding ayahnya yang beraksi sebagai pemain pertahanan negara suatu ketika dahulu.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen berdepan Tajikistan pada Khamis ini, diikuti aksi menentang Thailand tiga hari kemudian dan perlawanan terakhir bertemu Jepun pada 26 September.

Ketiga-tiga perlawanan berkenaan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan waktu sepak mula sama iaitu jam 4.30 petang.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, Malaysia akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan B (DPR Korea, Oman, Yemen atau Jordan) di suku akhir pada 30 September 2018 (Ahad) di Stadium Nasional, 4.30 petang (jika muncul juara Kumpulan A) atau di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, 8.45 malam (jika muncul naib juara Kumpulan A).

Sumber daripada FAM

Seterusnya, perlawanan separuh akhir bakal berlangsung pada Khamis, 4 Oktober 2018 di Stadium Nasional dan Stadium Petaling Jaya. Final pada Ahad, 7 Oktober 2018 di Stadium Nasional.

Selain Stadium Nasional dan Stadium Petaling Jaya, satu lagi gelanggang kejohanan ialah di Arena Universiti Malaya (UM Arena), Kuala Lumpur.

Tiket bagi setiap perlawanan di ketiga-tiga venue berharga RM10 dewasa (tempat duduk terbuka) dan RM5 kanak-kanak. Namun bagi perlawanan di Stadium Nasional, tiket turut dijual bagi kategori VIP iaitu RM20 dan grandstand RM15. Tiket akan dijual pada hari perlawanan di kaunter tiket stadium masing-masing.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN