Kegagalan Serangan Punca JDT Seri

Kerjasama Semuanya BOLA

Liga-M FAM JDT

Pengurus kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa berkata kegagalan barisan hadapan merupakan sebab utama juara bertahan Liga Super itu diikat oleh Felda United dalam perlawanan yang berlangsung pada malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim tanpa kehadiran penyokong itu, JDT terlebih dahulu berada di hadapan melalui kuisan Syafiq Ahmad.

Namun Felda bangkit pada babak kedua perlawanan melalui penyerang antarabangsa Gabon, Frederick Bulot untuk kedudukan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

“Kami berasa amat kecewa dengan keputusan ini kerana kami gagal memanfaatkan peluang dan dalam bola sepak, anda tidak akan menang jika tidak menjaringkan gol dari peluang-peluang yang dicipta. Ianya semudah itu,” kata Figueroa menjelaskan mengenai keputusan tersebut.

“Kami perlu memanfaatkan peluang jaringan. Selain itu, saya rasakan kami bermain dengan baik. Kami berjaya menjaringkan gol tetapi satu kesilapan mudah menyebabkan kami kehilangan tiga mata.

“Pada ketika kami hendak kembali dalam perlawanan, ianya menjadi sukar dan kami tidak menjaringkan gol dari peluang yang kami ada.”

Sehubungan dengan itu Figueroa turut berkata JDY akan menggunakan tempoh penangguhan liga akibat wabak Covid-19 untuk mengemaskini keupayaan jentera serangan skuad Harimau Selatan ini.

“Barisan tengah kami melakukan tugas dengan baik tetapi seperti yang saya katakan, kami akan dihukum jika kami gagal di bahagian serangan dan itulah yang terjadi,” tambah beliau lagi.

“Kami akan bekerja lebih keras untuk memperbetulkan segalanya dan akan kembali semula dengan lebih kuat seperti sebelum ini kerana sejak dari perlawanan pertama hingga semalam, kami bukanlah JDT yang sepertimana sebelum ini.

“Kami perlu mencari semula diri kami dan memperbetulkan keadaan.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram