Kegagalan Hukum Jafri Lebih Berat, Bukti Mutu Pengadilan Liga M Masih Di Takuk Lama

Kalau mutu pengadilan di Liga Malaysia mahu diungkit satu persatu, sudah pasti kita hanya akan menemukan deretan insiden yang tidak sepatutnya berlaku, dan ceritanya panjang.

Sejak dari sepak mula liga pada musim ini, satu persatu kisah prestasi pengadil mewarnai ruangan media cetak dan digital.

Senarai insiden 2021

Bermula pada 7 Mac dalam saingan Liga Premier membabitkan pasukan Kelantan United  menentang Perak FC II, pengadil perlawanan Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin mencuri tumpuan apabila berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak dengan kasar oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Tiga hari berikutnya, perlawanan membabitkan pertemuan PJ City vs Melaka United di saingan Liga Super menjadi kecoh pada minit ke-80 apabila pengadil perlawanan gagal mengesan simulasi jelas Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City.

Senarai Kontroversi Pengadil Liga Malaysia Yang Tiada Kesudahan

Selang beberapa minggu selepas itu satu lagi insiden melibatkan pengadil berlaku dalam pertemuan di antara Sabah FC dan Terengganu FC. Dalam perlawanan tersebut, pengadil pertama perlawanan, Khairulazuan Kidam menjadi tumpuan apabila membatalkan gol pasukan Terengganu FC, Jordan Mintah.

Insiden kontroversi melibatkan pengadil terus berterusan selepas itu melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak di Ipoh. Pengadil perlawanan Noor Azriel Baharudin gagal mengesan kesalahan yang terjadi ketika gol kedua Perak dijaringkan. Itu antara insiden melibatkan pengadil di Liga Malaysia pada musim ini.

Pengadil tidak lari dari kesilapan

Untuk mengkritik keseluruhan badan pengadilan bola sepak negara itu sendiri sebenarnya tidak adil. Ada juga di kalangan pengadil-pengadil kita yang menampilkan prestasi memberangsangkan sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa – dipanggil mengadili perlawanan-perlawanan besar di luar negara.

Sebagai manusia, pengadil bola sepak juga sudah tentu tidak boleh lari dari kesilapan. Namun sebagai pengadil profesional, kenyataan sebegitu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk pengadil di dalam negara tampil lebih cekap sehingga melakukan kesilapan-kesilapan mudah, dan terlepas insiden-insiden yang jelas.

Jika semudah itu memberikan alasan, maka selama-lamanya mutu pengadilan bola sepak negara akan berada di dalam keadaan pegun, tatkala pengadil-pengadil dari negara lain semakin jauh dan cekap di hadapan.

Insiden Jafri Chew ‘tunjal’ Rabih Ataya

Terbaru penyokong bola sepak dikejutkan dengan insiden melibatkan penyerang Penang FC, Jafri Firdaus Chew dan Rabih Ataya. Insiden terjahan daripada Jafri Chew terhadap Rabih Ataya dalam perlawanan tersebut amat jelas selayaknya dilayangkan kad merah.

Apa pun alasan yang diberikan Jafri, terjahan tersebut diklasifikasikan datang dengan “intention” (niat) mencederakan lawan – pada ketika itu.

Melalui video rakaman di atas, pengadil perlawanan sedar kekasaran yang telah dilakukan oleh Jafri. Adakah pengadil tidak mendapat pandangan yang jelas berdasarkan kedudukan beliau ketika insiden berlaku?

Sebagai pegawai perlawanan pertama beliau boleh sahaja mendapatkan pandangan kedua dari pembantu pengadil. Pada masa yang sama pembantu pengadil boleh sahaja menyampaikan pandangan beliau kepada pengadil mengenai apa yang berlaku.

Berdasarkan rakaman video di atas, senario yang lebih teruk seperti kecederaan yang menyebabkan karier pemain lain musnah boleh sahaja berlaku.

Penutup

Bukanlah untuk mencari kesalahan sesiapa. Pertama, kekasaran sebegini tidak seharusnya berlaku di tahap ini. Kedua, sudah tentu kita mengharapkan kualiti pengadilan mampu dipertingkatkan – terutama membabitkan insiden yang jelas sebegini.

Semoga pihak berwajib mampu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply