Kedudukan Empat Teratas Liga Super, Rangkul Piala Jadi Sasaran Melaka United

Melaka United

Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan empat teratas saingan Liga Super dan merangkul piala pada musim ini.

Dalam usaha untuk mencapai apa yang telah disasarkan, gandingan pemain berpengalaman dan baharu menjadi sandaran Melaka United bagi memberikan persaingan hebat buat pasukan lain.

Presiden MUSA, Yang Berhormat (YB) Damian Yeo Shen Li turut berhasrat untuk memacu skuad Hang Tuah menjadi sebuah pasukan yang lebih dikenali.

“Walaupun dengan sumber kewangan yang ada, MUSA percaya pasukan yang telah dibina mempunyai semangat melawan yang kuat pada musim yang akan datang.”

YB Damian bersama ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

”Tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai, maka MUSA percaya Melaka United, akan mampu berhadapan dengan pasukan terbaik dunia pada masa hadapan.”

“Saya berhasrat untuk mengambil tanggungjawab ini, untuk mencapai sasaran dalam menjadikan Melaka United sebagai satu jenama yang dikenali di seluruh dunia,” ujar Damien kepada Bernama.

“Tidak salah untuk kami mempunyai impian yang mungkin mustahil untuk kami capai. Bagaimanapun, kita mesti sentiasa positif untuk membuat impian menjadi kenyataan.”

Pada musim 2019, Melaka United menamatkan saingan Liga Super di tempat keenam selepas mengumpul 33 mata hasil sembilan kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan.

Sementara itu di pentas Piala FA pula Melaka United sekadar melangkah ke pusingan kedua dan layak ke suku akhir kempen Piala Malaysia.

Kredit foto: Melaka United Soccer Association – MUSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram