Kedah FA Pilih Aksi Pra-Musim di Kemboja

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membuat keputusan untuk memilih Kemboja sebagai lokasi untuk persediaan pra-musim dan bakal beraksi menentang beberapa pasukan di negera berkenaan sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

Pasukan Kedah sudah pun memuktamadkan senarai pemain yang akan beraksi bersama skuad Lang Merah pada musim depan dengan dua pemain terakhir yang menyertai pasukan itu adalah pemain import dari Filipina, Amin Adam Lazarte Nazari dan bekas penjaga gol Felda United, Muhammad Azri Abdul Ghani.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris dalam temubualnya bersama Sinar Harian berkata, Kemboja telah dipilih sebagai lokasi persiapan pasukan supaya pemain-pemain yang baru menyertai pasukan itu dapat meningkatkan lagi persafahaman dengan rakan sepasukan.

Tambah beliau lagi, latihan rasmi pasukan telah pun bermula sejak awal Disember lalu dan skuad utama Kedah telah bermain dalam satu perlawanan persahabatan menentang skuad Piala Presiden pada Jumaat.

“Beberapa perlawanan pramusim 2020 sudahpun diatur dan Kedah akan berkunjung ke Kemboja bagi aksi perlawanan pramusim di sana.

“Pemilihan tempat perlawanan pramusim ini dilakukan sebagai salah satu persiapan dan usaha KFA untuk mempersiapkan Lang Merah bagi menghadapi musim 2020 termasuk kelayakan ACL 2020,” katanya selepas merasmikan Pembukaan Sidang Dun Belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Wisma Darul Aman.

Untuk Aksi kelayakan ACL, Kedah dijadualkan berdepan Juara Liga Premier Hong Kong, Tai Po FC pada 21 Januari ini. Sekiranya mereka menang ke atas pasukan tersebut, lawan seterusnya adalah wakil Korea Selatan, FC Seoul.

Kredit Foto: FA Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram