Kedah Mahu Kekalkan Prestasi Konsisten Dalam Saingan Liga Super

Kedah

3 hari lagi saingan Liga Malaysia bakal membuka tirainya dimana 12 pasukan tempatan akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super sekaligus mendapat tiket automatik ke AFC Champions League 2020.

Bagi ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak, pasukannya masih belum ‘siap’ sepenuhnya untuk menghadapi saingan sengit dalam kancah liga tempatan tersebut, dan beliau harap para pemainnya mencapai tahap kecergasan yang dimahukannya sebelum perlawanan menentang PKNP FC pada hari Sabtu ini.

Beliau yang berpuas hati selepas Kedah menang 4-0 ke atas Home United dalam aksi persahabatan pramusim terakhir di Stadium Darul Aman Sabtu lalu yakin kemenangan itu dapat meningkatkan motivasi dan persefahaman semua pemain.

“Kemenangan ini merupakan satu motivasi dan penting untuk kerjasama semua pemain. Namun masih ada lagi ruang perlu dipertingkatkan sebelum kita bersedia sepenuhnya untuk menempuh Liga M.”

“Saya akui kita beraksi dengan hebat dalam beberapa perlawanan pramusim sebelum ini, namun masih belum lagi mencapai tahap maksimum 100 peratus seperti saya rancang dan masih ada ruang untuk terus tingkatkan prestasi.”

“Saya menuntut pemain agar dapat mencapai tahap kecergasan sepenuhnya barulah kita dapat beri aksi terbaik untuk penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan,” katanya dalam Berita Harian.

Barisan pemain skuad helang merah musim 2019. FOTO: Kedah FA

Aidil turut menekankan aspek konsistensi dengan menggesa semua pemain terus bekerja keras memperbaiki kelemahan yang terserlah pada perlawanan pramusim sebelum ini.

“Konsisten itu penting bagi saya dan mahu Kedah menunjukkan aksi yang konsisten dalam tempoh 90 minit seperti mana pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang dan lain-lain yang memiliki tahap permainan tinggi.”

Di samping komitmen pemain, Aidil juga gembira dengan reaksi dan sokongan ditunjukkan penyokong dan mahu mereka terus memberi sokongan padu dan dianggap motivasi buat pemainnya.

“Kita perlukan sokongan penyokong sebagai ‘pemain ke-12’ yang dapat menyuntik motivasi tambahan kepada pemain yang bakal menempuh ujian pertama apabila berdepan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 2 Februari nanti,” katanya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply