Quantcast

BERITA

Kedah FA Umum Jonathan Bauman Sebagai Pemain Import Kelima

Teka-teki mengenai calon pemain import kelima skuad helang merah akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini mengumumkan kedatangan pemain dari Argentina, Jonathan Bauman sebagai penyerang mereka bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Pemain yang berusia 28 tahun itu beraksi dengan kelab Persib Bandung dalam saingan Liga Indonesia musim lalu itu dan telah menjaringkan 12 gol dalam 26 penampilan dengan skuad kendalian bekas jurulatih JDT, Mario Gomez.

Dalam kenyataan rasmi media KFA, pemain tersebut dijangka akan berganding dengan Fernando Rodriguez, Thanabalan dan Zafuan Adha di bahagian serangan.

“Beliau menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad hijaukuning selepas menjalani pemeriksaan perubatan sebelah pagi tadi.

“Beraksi di posisi penyerang, kehadiran Bauman pasti menambah dimensi serangan skuad hijaukuning bergandingan bersama Fernando Rodriguez, Zaquan Adha dan N Thanabalan.

“Sebelum ini Bauman bersama kelab Indonesia, Persib Bandung dan mencipta nama di Indonesia antara penyerang berbahaya di Gojek Liga 1 Indonesia,” kata kenyataan itu.

Jonathan Bauman sah milik pasukan Kedah musim ini. FOTO: KFA

Selain beraksi dengan Persib Bandung, Bauman juga telah beraksi dengan beberapa kelab Liga Argentina dan memiliki pengalaman bersama skuad kebangsaan bawah 20 tahun (B-20) Agentina pada tahun 2009.

Dia juga pernah dipilih oleh Sergio Batista menganggotai skuad 16 pemain yang dipersiapkan untuk skuad kebangsaan Argentina bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Selain Bauman, Kedah kini sudah melengkapkan kuota pemain import dengan kemasukan Shakir Hamzah (Singapura), Anmar Al-Mubaraki (Iraq), Fernando Rodriguez (Sepanyol) dan Renan Alves (Brazil).

Bauman akan menyertai latihan pertamanya bersama skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, esok.