Kedah Bawa Masuk ‘Heri Bota’ Dalam Sesi Latihan Pertama Pasukan?

Aiman Afif Kedah Heri Bota

Posting bergambar mengenai sesi latihan pertama Kedah semalam secara tiba-tiba menjadi bualan di kalangan penyokong Helang Merah kerana kelibat ‘Heri Bota’.

Kelibat seakan-akan ‘Heri Bota’ itu dilihat sedang menjalani sesi latihan bersama Kedah – yang telah dijalankan buat pertama kali selepas liga tertangguh hampir tiga bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Siapa Heri Bota?

Heri Bota merupakan watak lakonan pelakon remaja, Aedy Ashraff dalam telemovie komedi, Heri Bota yang telah bersiaran di RTM pada awal Jun lalu. Telemovie tersebut menggunakan latar belakang negeri Perak dan menggunakan loghat daerah di Bota.

Dek kerana wajah pemain tersebut persis Aedy Ashraff, ramai yang telah meninggalkan komen pada gambarnya dengan pelbagai komentar berunsur jenaka antaranya, “Dah tiada job berlakon ka?”, “Jem, marka pakat mai dah” dan sebagainya.

Aedy Ashraff merupakan pelakon remaja yang telah mula masuk ke bidang lakonan sejak berusia 10 tahun dan kini pelakon yang berusia 26 tahun itu sudah membintangi puluhan drama dan juga telemovie seperti Jutawan Fakir dan Tentang Bulan.

Siapakah pemain tersebut? Beliau merupakan pemain muda Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul, yang mana posting gambarnya telah menarik minat penyokong sehingga hampir 100 komen berbanding komentar di gambar-gambar pemain lain.

‘Budak Jitra’, ‘Ubi muda’ Kedah

Mohd Aiman Afif adalah antara pemain muda baharu yang telah didaftar untuk bersama skuad senior Kedah pada permulaan musim yang lalu dan juga telah membantu skuad B-18 negara dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 lalu.

Malaysia mara ke kejohanan utama selaku juara Kumpulan G dengan merekodkan empat kemenangan bersih daripada empat perlawanan dan Aiman Afif adalah penyumbang utama jaringan buat skuad negara dengan tujuh gol peribadi.

Dek kerana kemampuannya dan juga namanya yang sedang meningkat naik, pengendali Helang Merah, Aidil Sharin Sahak dengan pantas telah menaikkan pangkatnya bersama skuad utama dengan lanjutan kontrak sehingga 2024.

Selain itu, pemain kelahiran Jitra tersebut turut ‘diikat’ dengan klausa perlepasan bernilai RM5 juta bersama seorang lagi ‘ubi muda’ mereka, pertahanan tengah, Loqman Hakim Marzuki bagi memastikan bakat muda mereka lebih terjaga.

Kedah kembali ke padang

Dalam pada itu, laman Facebook Kedah FA telah memuat naik posting mengenai sesi latihan pertama Kedah yang dilangsungkan secara tertutup di Stadium Darul Aman.

Menurut posting tersebut, latihan tanpa sentuhan telah dijalankan secara tiga sesi dengan setiap latihan melibatkan sejumlah 10 pemain dan empat jurulatih. Pemain-pemain dan jurulatih telah dipastikan untuk mengikuti SOP ketat yang ditetapkan.

Selain daripada itu, pihak pengurusan pasukan juga telah menyediakan laluan khas masuk dan keluar ke stadium, selain melakukan pemeriksaan suhu, pendaftaran nama pemain dan jurulatih serta pemakaian topeng muka sebelum dan selepas latihan.

Antara pemain-pemain yang dilihat dalam sesi latihan semalam adalah penyerang sensasi, Kipre Tchetche, Zaquan Adha, David Rowley dan kapten, Baddrol Bakhtiar.

Penutup

Sedikit sebanyak, komentar di posting tersebut dilihat lebih santai dan penuh jenaka berbanding posting-posting sebelum ini yang ‘diserang’ penyokong akibat masalah tunggakan gaji yang sedang dilalui oleh pasukan kesayangan mereka itu.

Ia mungkin dapat meredakan sedikit ketegangan yang dilalui pemain-pemain dan juga di kalangan para penyokong terhadap pengurusan tertinggi pasukan. Begitupun, tunggakan gaji tetap perlu dipandang serius dan menjadi keutamaan!

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA

Baca lagi artikel mengenai Aiman Afif dan Kedah FA:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN