Kazan Pernah Jadi Saksi Skuad Harimau Muda Runtuhkan Ego Itali

Sukar untuk kita membayangkan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe menundukkan ego kuasa bola sepak dunia seperti Brazil, Jerman, atau pun Sepanyol.

Bayangkan Joachim Low di Stadium Nasional Bukit Jalil membawa skuad kendaliannya untuk kejohanan mahupun perlawanan persahabatan. Dan lawan mereka adalah skuad Harimau Malaya.

Ataupun Roberto Mancini bersama skuad Azzurri menanti kunjungan pasukan negara di Allianz Arena di Turin. Ia bagaikan mimpi bukan?

Kali terakhir pasukan negara berhadapan dengan kuasa besar dunia adalah pada 2002 menentang Brazil. Skuad kendalian Philippe Scolari menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi sebelum ke Piala Dunia yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.

Pasukan negara kendalian Allan Harris pada ketika itu tewas 4-0. Tidak dapat dinafikan Malaysia adalah lawan mudah bagi Brazil yang muncul sebagai juara dunia selepas menewaskan Jerman 2-0 di perlawanan akhir Piala Dunia 2002 selepas itu.

Sukan Universiade 2013

Secara realistik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui ia memang sukar untuk mengatur perlawanan berhadapan dengan gergasi bola sepak dunia.

Namun itu tidak bererti pasukan negara yang membawa nama Malaysia tidak pernah menewaskan kuasa dunia di dalam sukan bola sepak.

Perkara itu pernah berlaku 8 tahun yang lalu di Sukan Universiade pada 2013. Malaysia diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama Great Britain, Itali dan juga Algeria.

Sukan Universiade  ialah acara pelbagai sukan antarabangsa yang dianjurkan untuk atlet universiti oleh Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU).

Ia merupakan temasya sukan yang dikhususkan untuk pelajar universiti dari seluruh dunia.

Malaysia hantar Harimau Muda

Walaupun Sukan Universiade dikhususkan untuk pelajar universiti, Malaysia pula menggunakan temasya tersebut sebagai pendedahan kepada skuad Harimau Muda.

Tindakan menghantar Harimau Muda ke temasya tersebut pada mulanya dipersoalkan oleh ramai. Namun atas beberapa faktor, ia dianggap sebagai platform terbaik untuk mendapatkan perlawanan kompetitif.

Berbeza dengan universiti di dalam negara, universiti di luar negara digunakan oleh kebanyakkan negara sebagai penyumbang pemain bola sepak berkualiti.

Jepun misalnya memiliki kejohanan bola sepak universiti yang kompetitif. Dan bagi skuad kendalian Ong Kim Swee, ia dianggap sebagai satu peluang keemasan.

Kazan menjadi saksi

Perlawanan pertama Kumpulan C menemukan Malaysia dan juga Itali. Skuad Azzuri pada ketika itu bukan calang-calang pasukan.

Antara pemain yang membarisi skuad Itali adalah pemain akademi Fiorentina, Claudio Santini dan Federico Masi; pemain tengah skuad Itali B-20, Andrea Burato; bekas pemain sayap Lazio, Manuel Ricci; pemain akademi Inter Milan, Lorenzo Degeri;

Maka tiada alasan mengatakan Malaysia hantar skuad Harimau Muda sebagai perkara yang tidak adil. Bagaimanapun perlawanan pertama menentang Itali dianggap berlangsung dengan penuh kontroversi.

Pemain Harimau Muda, A.Thamil Arasu membuka tirai jaringan apabila melepasi dua pemain pertahanan Itali untuk meletakkan skuad negara di hadapan dengan 1-0, pada minit ke-20 perlawanan.

Pada babak kedua perlawanan, lima pemain negara dilayangkan kad kuning sekaligus menambah ketegangan kedua-dua pasukan sehingga kad merah pertama dilayang kepada pemain Itali, Andrea Settembrini kerana mengasari pemain negara D.Saarvindran pada minit ke-67.

Tujuh minit kemudian skuad negara dikejutkan dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada penjaga gol utama negara, Mohd Izham Tarmizi Roslan kerana kesalahan menarik pemain lawan ketika mahu menyelamatkan bola dalam kotak penalti.

Pengendali Harimau Muda Ong Kim Swee terpaksa mengeluarkan pemainnya Ahmad Hazwan Bakri dan memasukkan penjaga gol kedua negara Mohd Farhan Abu Bakar bagi mengantikan Mohd Izham.

Kemasukan Mohd Farhan nyata tidak mengecewakan apabila menyelamatkan gawang pintu gol negara daripada dibolosi sepakan penalti pemain Itali, Manuel Ricci.

Lima minit kemudian skuad negara sekali lagi menerima cabaran hebat apabila pemain mereka, Syahrul Azwari Ibrahim dilayangkan kad merah kedua pada minit ke-78 sekaligus menghadiahkan sepakan penalti buat lawan.

Mohd Farhan sekali lagi bertindak cemerlang menafikan sepakan pemain Itali, Andrea Burato.

Meskipun terpaksa beraksi dengan sembilan pemain, benteng pertahanan skuad negara tetap kukuh apabila menggagalkan beberapa peluang percubaan lawan membuat jaringan.

Pasukan Itali yang berkelebihan satu pemain menjadi lebih tertekan untuk mencari gol penyamaan dengan bertindak mengasari pemain lincah negara Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di hadapan pintu gol mereka sekaligus menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara

Saarvindran tenang menyempurnakan sepakan pada minit ke-86 untuk menyumbang gol kedua bagi Malaysia.

Itali pandang rendah Malaysia

Tidak dapat dinafikan perlawanan berlangsung dalam keadaan penuh kontroversi ketika menentang Itali. Beberapa keputusan pengadil turut dikatakan meragukan.

Kami sempat menemuramah bekas wartawan yang pernah bertugas membuat liputan skuad Harimau Muda di Sukan Universiade di Kazan pada 2013 itu.

Kredit: Fadzlie Ahmad ‘Deto’

“First game tu Italy memang pandang rendah Malaysia. Dah kena gol, lepas tu dua kali penalty tak masuk, memang dorang koyak teruk,” ujar Fadzlie Ahmad ketika dihubungi oleh kami.

Menurut Fadzlie lagi tindakan membuang padang dua pemain Malaysia turut dilihat sebagai keputusan yang meragukan.

Namun keseluruhan senario tidak menghairankan. Itali dianggap sebagai kuasa bola sepak dunia berbanding Malaysia. Semakin jauh pasukan seperti Itali mara, maka ia semakin baik untuk reputasi temasya itu.

Harimau Muda kandas di suku akhir

Selepas tewas kepada Itali, pasukan negara kemudiannya tewas 2-0 kepada Great Britain. Malaysia mendapat kemenangan percuma pada perlawanan ketiga selepas Algeria menarik diri.

Bagaimanapun pasukan negara tewas 4-0 kepada Jepun di suku akhir. Jepun kemudiannya tampil sebagai pemenang pingat gangsa dalam acara bola sepak di temasya tersebut, dan rata-rata pemain mereka di dalam skuad 2013 itu beraksi di J League pada hari ini.

Malaysia mengakhiri saingan pada temasya 2013 sebagai lapan pasukan teratas selepas tewas melalui penentuan sepakan penalti kepada Ireland di dalam perlawanan penentuan.

Walaupun gagal mara jauh pada ketika itu, skuad Ong Kim Swee berjaya memastikan pasukan negara layak beraksi di Sukan Universiade yang seterusnya.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN