Karsten Neitzel Mahu Ifedayo Terus Keluar Memburu Gol & Kasut Emas

Ifedayo Olusegun Karsten Neitzel Selangor FC 2021 buru gol

Berdasarkan rekod jaringan terkini, Ifedayo Olusegun sudah meledak 25 gol dan mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super 2021 menjelang perlawanan terakhir liga mereka berdepan PJ City FC pada Ahad.

Beliau berada dua gol di depan penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva yang juga mampu memintasnya dalam aksi terakhir juara liga lapan musim berturut-turut itu berdepan KL City FC.

Dengan situasi JDT sudah menjuarai liga, adakah Bergson akan disandarkan harapan di jentera depan? Jika melihatkan komentar pengendali, Benjamin Mora beberapa perlawanan terdahulu, itu bukan sasarannya.

[VIDEO]: Benjamin Mora Seloroh Bergson ‘Simpan Kuku’ Di ACL Untuk Liga Super

Bercakap dalam sidang media selepas berjaya membenam Perak FC 5-0, beliau berkata, “Bukan saya yang menentukan kehendak pemain. Kami bermain secara berpasukan. Kami tiada superstars dalam pasukan.”

“Begitupun, saya gembira jika Bergson meraih penjaring terbanyak musim ini. Diogo pun tak pernah memenanginya ketika dia di sini,” ujarnya selepas melihat Bergson meledak hatrik pertamanya di Liga Super.

Berdepan KL City yang dijangka akan menurunkan skuad kedua sahaja, mungkin JDT juga akan berbuat demikian disamping sasaran peribadi Bergson juga bakal menjadi pertimbangan buat pengendali itu nanti.

Begitupun, pertimbangan lain juga pasti bermain di kotak fikirannya iaitu memberikan minit permainan buat penyerang lain seperti Syafiq Ahmad yang dilihat ada menyuarakan isi hatinya di media sosial sebelum ini.

Ifedayo Olusegun pula sebaliknya masih akan menjadi taruhan utama Selangor berdepan PJ City. Mereka masih berpeluang memintas kedudukan ke-4 yang dihuni Terengganu FC – jika Sang Penyu tumbang.

Apa yang mereka perlu lakukan adalah menang ke atas The Phoenix – yang tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir dengan minggu lalu merupakan kemenangan pertama selepas enam perlawanan tewas.

Jika Terengganu tewas kepada Penang FC dan Selangor menang, mereka akan menamatkan musim ini di kedudukan ke-4, mengumpul 39 mata – sesuatu yang sangat baik untuk musim pertama Karsten Neitzel.

Bercakap selepas berkenduri gol ke atas Sabah FC, Karsten Neitzel berkata, “Itu bukan masalah saya [sama ada Ifedayo jaring banyak gol]. Saya gembira dengan prestasi Ifedayo dan dia tahu untuk menjaringkan gol.”

“Jika dia menjaringkan gol lagi pada Ahad depan, kita akan menang. Pada saya ia tidak penting walaupun ia penting buat Ifedayo. Tetapi, saya rasakan ia jumlah jaringan yang menakjubkan,” jelas pengendali itu lagi.

“Dan harapnya dia akan melakukannya lagi [jaring gol],” tegas Karsten Neitzel kepada pihak media.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply