Kapten Selangor, Brendan Gan Disahkan Menghidap Kanser

Brendan Gan Kanser

Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan mengesahkan beliau telah didiagnosis menghidapi penyakit kanser testis menerusi hantarannya di media sosial.

Berita mengejutkan itu turut dikongsi oleh pasukannya Selangor FC yang memaklumkan kapten mereka telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan.

“Tiada apa mengenai kisah hidup saya kecuali perkara yang positif. Jika ada pun yang dikatakan ‘negatif’, ianya hanya menjadikan saya lebih kuat dan sentiasa mendorong saya untuk melihat sinar dalam setiap situasi,” ujar Brendan dalam akaun facebook peribadinya.

“Ia telah membina karekter dan ketabahan pada diri saya untuk bertahan dalam menghadapi setiap cabaran. Inilah yang membawa saya kepada cabaran seterusnya.

“Saya telah disahkan menghidapi kanser testis. Saya telah menjalani pembedahan dan akan berdepan dengan rawatan seterusnya tidak lama lagi.”

Pemain berusia 31 tahun itu turut meluahkan rasa syukurnya kerana mendapat sokongan dari semua pihak terutamanya keluarga rakan-rakan dan seluruh komuniti bola sepak.

Pengumuman ini sekaligus menjawab persoalan mengenai tindakan skuad Selangor yang memegang jersi Brendan Gan ketika sesi bergambar sebelum aksi bertemu Kuala Lumpur tempoh hari.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Ketua Jurulatih Selangor, Karsten Neitzel ketika ditanya mengenai ketiadaan Brendan Gan dalam pasukan, beliau mengatakan pemainnya itu bukan mendapat ‘kecederaan’ semasa tugasan antarabangsa tetapi semasa sesi latihan.

Beliau kemudian meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi pasukan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply