Kapten Denmark Simon Kjaer Dipinjamkan Ke Milan

Pemain pertahanan Seville, Simor Kjaer telah memendekkan tempoh pinjamannya bersama Atalanta untuk menyertai AC Milan juga  secara pinjaman sehingga penghujung musim ini dengan pilihan pembelian secara tetap.

Sekalipun Atalanta cemerlang dalam penampilan di Liga Juara-Juara Eropah musim ini, kapten skuad kebangsaan Denmark itu hanya membuat lima penampilan sahaja bersama kelab Itali itu dalam kempen Serie A pada musim ini.

Situasi itu mendorongnya untuk menyertai Milan yang merupakan seteru bekas pasukannya di peringkat domestik dan beliau juga bukanlah terlalu asing di Itali.

Kjaer bukanlah kali pertama beraksi di Itali kerana pernah bersama Palermo selama dua musim pada tahun 2008 hingga 2010 dan kemudian menyertai AS Roma pada 2011.

Kjaer berpindah ke Seville dari Fenerbahce pada 2017 dan kelab Sepanyol berkenaan telah pun mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu telah tiba di Milan untuk melengkapkan perpindahan tersebut.

Beliau juga mempunyai rekod 95 penampilan buat skuad kebangsaan Denmark termasuk penyertaan di kejohanan Piala Dunia 2010, 2018 serta Euro 2012.

Pengendali Milan, Stefano Pioli kini berharap kehadiran pemain pertahanan berpengalaman itu dapat membantu untuk meningkatkan prestasi pasukannya yang kini sedang bergelut dengan hanya menduduki tempat ke-10 dalam saingan liga.

Sementara itu, Milan turut mengumumkan pemain pertahanannya, Mattia Caldara akan dipinjamkan ke Atalanta. Caldara sebelum ini menyertai Milan dari Juventus pada 2018 tetapi bergelut dengan masalah kecederaan dan hanya membuat dua penampilan sahaja untuk skad utama dalam Serie A.

Kelab Rossoneri itu sudah pun berjaya mendapatkan kembali Zlatan Ibrahimovic pada bulan ini dan pemain Sweden itu sudah pun menjaringkan gol pertamanya sejak kembali menyarung jersi Milan ketika menang 2-0 ke atas Cagliari pada Ahad.

Kredit Foto: AC Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram