“Kami Hanya Perlu 4 Mata Lagi”, Aidil Sharin Sasar Mata Untuk 2 Aksi Di Darul Aman

Aidil Sharin Kedah KL City buru mata

Walaupun Kedah Darul Aman FC tewas 1-2 kepada KL City FC, Aidil Sharin Sahak masih tenang sambil menyatakan mereka hanya memerlukan empat mata dan akan memburunya dalam baki dua aksi nanti.

Empat mata itu akan memberi mereka jumlah mata yang selamat untuk menamatkan saingan di tangga kedua liga dengan pesaing terdekat, Terengganu FC dan Penang FC tidak mampu memintas lagi.

Kedah tampil sekali lagi dengan aksi kurang meyakinkan selepas kehilangan tiga tonggak utama iaitu Rodney Calvin, Kpah Sherman dan Rabih Ataya. Mereka seri 2-2 dengan Sri Pahang sebelum ini.

“Kita tidak boleh berehat sehingga kita dapat sekurang-kurangnya empat mata. Saya akui keputusan lain mungkin akan membantu kita tetapi kita yang perlu bantu diri kita sendiri untuk mendapat keputusan.

“Ini kerana, mengharapkan bantuan pasukan lain adalah tidak bagus. Jadi, ayuh kita fokus kepada aksi seterusnya. Dan saya yakin, dua aksi di laman sendiri akan membantu kita,” tegas Aidil Sharin.

Baki dua aksi terakhir Liga Super 2021  buat Kedah adalah di Stadium Darul Aman, berdepan UiTM FC – yang kini sah tersingkir ke Liga Premier pada Rabu dan kemudian Melaka United pada 12 September.

Dengan kemungkinan tanpa kudrat ketiga-tiga pemain tersebut, Aidil Sharin perlu terus bertahan dengan pilihan terhad di tangannya sambil mengharapkan mereka mampu memburu mata penting nanti.

Mengakui terasa akan kehilangan pemain utama, beliau tidak menjadikan itu alasan mengapa mereka tewas. “Tentunya, dua pemain itu [Kpah Sherman dan Rabih Ataya] adalah pemain utama pasukan.”

“Kita juga harus faham, adakalanya ini yang berlaku dalam bola sepak [kehilangan pemain]. Jika anda tanya saya, ya, kami merindui mereka. Tetapi ia bukanlah alasan untuk kalah,” ujar Aidil Sharin.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium KLFA malam tadi, KL City mendahului aksi dengan dua gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain tengah, Romel Morales seawal minit ke-6, sebelum penyerang, Safee Sali menambah jurang gol menerusi gol kedua tuan rumah pada minit ke-26.

Kedah bangkit mengejar menerusi ledakan Kipre Tchetche lapan minit kemudian, namun ia tidak cukup bagi membantu Kedah mengelak kekalahan kepada KL City – selepas tidak tewas dalam lima aksi.

Ia malam yang indah buat KL City selepas sah merekodkan kempen tanpa kalah di laman sendiri.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply