Kami Banding Pas Bermusim Selangor, JDT, Kedah & Terengganu: Mana Paling Berbaloi?

  • Pas bermusim manakah yang paling murah?
  • Pas bermusim manakah paling berbaloi dengan harga yang diletakkan?
  • Pas bermusim manakah paling banyak menawarkan nilai (values) kepada penyokong?

Dalam sukan, kesetiaan seseorang penyokong kepada pasukannya diukur dengan jawapan kepada soalan: “Have you got season ticket?”. Jika jawapan anda ya, semua orang tahu anda penyokong setia yang sejati. Barangkali anda turut mempunyai batu yang mempunyai inskrip nama anda di luar stadium. Barangkali pemain kegemaran sepanjang zaman anda sudah meninggal dunia.

Bagi sesebuah pasukan bola sepak, pas bermusim adalah parameter tepat untuk mengukur berapa banyak penyokong setia yang mereka ada. Ia adalah salah satu cara paling efektif untuk meyakinkan penaja – jika anda menaja kami, percayalah; penyokong setia kami akan menjadi pelanggan anda. Kesanggupan penyokong untuk membayar ratusan hingga ribuan ringgit duit gaji untuk memastikan mereka mendapat tempat duduk menyaksikan pasukan yang tidak diketahui akan menang atau tidak – itulah definisi sebenar kesetiaan.

Di Eropah, di mana budaya bola sepak dalam kalangan penyokongnya sangat mekar, pas bermusim adalah benda rare. Anda tidak boleh senang-senang membelinya. Syaratnya sangat ketat. Pertama, anda akan diberikan nombor giliran. Kemudian, anda perlu menunggu pembeli pas bermusim untuk ‘menyerahkan’ kerusinya sebelum dapat membeli. Dan kebarangkalian tersebut sangatlah kecil. Anda perlu menunggu bertahun-tahun. Anda mungkin perlu menunggu pembeli pas bermusim tersebut meninggal dunia sebelum dapat membeli.

Itulah sebabnya di Eropah, apabila anda dapat pas bermusim, anda takkan melepaskannya – selagi hayat dikandung badan. Kerusi yang dikhaskan kepada anda itu akan menjadi milik anda. Sinonim dengan anda. Anda akan berkawan dengan jiran kerusi sebelah, belakang dan depan anda. Apabila kerusi anda kosong atau diduduki orang lain pada hari perlawanan, jiran kerusi anda akan tertanya-tanya tentang anda. Kenapa tak datang? Sakitkah? Ada kerjakah?

Itulah yang terjadi kepada sebuah keluarga Sikh ini yang pasti anda pernah nampak di kaca TV setiap kali Manchester United menjaringkan gol di Old Trafford.

Selalu kelihatan di seksyen tempat duduk penyokong berdekatan dengan kawasan tempat duduk staf United ketika era Sir Alex Ferguson, keluarga Sikh ini secara tiba-tiba ‘hilang’ dari kaca TV bermula pada tahun 2016. Penyokong United di Internet tertanya-tanya: Dimana keluarga Sikh tersebut? Rupa-rupanya mereka diberikan kerusi lain selepas United membesarkan kawasan tempat duduk staf di Old Trafford.

Di Malaysia, beberapa pasukan negeri yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier turut mempunyai penyokong seperti keluarga Sikh ini. Tetapi adakah pasukan-pasukan ini tahu nama penuh mereka? Umur mereka? Julat pendapatan bulanan mereka? Alamat rumah mereka? Tarikh lahir mereka? Nombor telefon mereka? Sektor pekerjaan mereka?

Mengapa data-data ini penting? Kerana data-data inilah yang dimahukan oleh penaja untuk lebih memahami sasaran pasaran pengiklanan mereka. Dalam era digital sekarang, syarikat-syarikat membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan data-data ini. Malahan syarikat SME (kecil dan sederhana) yang menjalankan perniagaan melalui Whatsapp juga sentiasa menyimpan data-data sasaran pelanggan mereka. Melalui data-data inilah, syarikat tahu produk dan servis apa yang paling sesuai disasarkan kepada peminat bola sepak.

Dan bagaimana pasukan boleh mendapatkan data ini? Cara paling mudah – wujudkan kad keahlian. Apa yang memberi motivasi kepada penyokong untuk mendaftar kad keahlian? Jual pas bermusim.

Adakah harga faktor utama membeli pas bermusim?

Jika kita meneliti antara 4 pasukan Liga Super yang menawarkan pas bermusim pada 2019, iaitu Selangor, JDT, Kedah dan Terengganu, kesemuanya menawarkan 2 pakej pas bermusim – tempat duduk terbuka (open) yang lebih murah dan tempat duduk berbumbung (grandstand) yang lebih mahal.

Untuk kategori tempat duduk terbuka, harga pas bermusim JDT dan Kedah paling mahal, bermula pada harga RM400 – 101% lebih mahal daripada Selangor (RM199) dan 14% lebih mahal daripada Terengganu (RM350).

Malah dengan harga sama yang penyokong JDT dan Kedah perlu bayar untuk mendapatkan pas musim kategori terbuka, mereka boleh mendapatkan pas musim termahal pasukan Selangor.

(Klik untuk paparan lebih besar)

Jika diukur dari aspek harga, jelas pas bermusim Selangor paling mampu milik. Selepas mengambil kira minimum 15 perlawanan home (11 perlawanan Liga Super, 1 perlawanan Piala FA dan 3 perlawanan kumpulan Piala Malaysia) dan harga jersi player issue (RM99), penyokong Selangor dapat membeli tiket pada harga RM6.67 sahaja jika mendapatkan pas musim termurah (RM199) – jauh lebih murah daripada harga tiket sebenar (RM15).

Sebagai perbandingan untuk JDT pula, selepas mengambil kira minimum 18 perlawanan home (11 perlawanan Liga Super, 1 perlawanan Piala FA, 3 perlawanan kumpulan Piala Malaysia dan 3 perlawanan AFC Champions League), penyokong JDT membeli tiket pada harga RM22.22 jika mendapatkan pas musim termurah (RM400) – jauh lebih mahal daripada harga tiket sebenar (RM10).

(Dikemaskini pada 29 Januari 2019)

Bagi Kedah pula, selepas mengambil kira minimum 15 perlawanan home (11 perlawanan Liga Super, 1 perlawanan Piala FA dan 3 perlawanan kumpulan Piala Malaysia) dan harga jersi player issue (RM119), penyokong Kedah membeli tiket pada harga RM18.73 jika mendapatkan pas musim termurah (RM400) – juga lebih mahal daripada harga tiket sebenar (RM10).

Begitu juga dengan penyokong Terengganu. Selepas mengambil kira minimum 15 perlawanan home (11 perlawanan Liga Super, 1 perlawanan Piala FA dan 3 perlawanan kumpulan Piala Malaysia) dan harga jersi player issue (RM129), penyokong Terengganu membeli tiket pada harga RM14.73 jika mendapatkan pas musim termurah (RM350) – tak jauh beza daripada harga tiket sebenar (RM15).

Tak sukar untuk menjelaskan mengapa Selangor dapat menawarkan harga pas bermusim yang jauh lebih murah. Dengan kapasiti Stadium Shah Alam yang mencecah 80,000, strategi Selangor adalah mendapatkan ‘volume’ pembelian pas yang banyak. Tambahan pula, ini adalah salah satu cara mereka untuk menjayakan kempen #JomKeStadium yang dimulakan sebaik DYTM Raja Muda Selangor mengambil alih tampuk kepimpinan FAS.

JDT pula mungkin boleh menjustifikasikan harga pas bermusim mereka dengan kapasiti Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos yang terhad. Tambahan pula, kualiti pemain-pemain mereka jauh lebih baik berbanding pasukan-pasukan Liga Super lain. Jangan dilupakan juga kualiti infrastruktur stadium mereka yang jauh lebih baik berbanding stadium-stadium lain.

Apa nilai yang ditawarkan dengan harga pas bermusim?

Disinilah ‘perang’ pas bermusim antara 4 pasukan Liga Super ini menjadi menarik. Harga murah saja tidak memadai jika nilai (values) yang ditawarkan tidak melebihi – atau sekurang-kurangnya menyamai – harga yang dijual.

Jika dibandingkan pas bermusim paling mahal untuk keempat-empat pasukan Liga Super, pasukan Kedah jelas memberikan faedah yang lebih banyak berbanding Selangor, JDT dan Terengganu.

(Klik untuk paparan lebih besar)

1. Produk rasmi pasukan (official merchandise)

Daripada 4 pasukan Liga Super yang menawarkan pas bermusim, kesemuanya memberikan produk rasmi kepada pembeli pas bermusim termahal mereka – kecuali JDT yang hanya memberikan diskaun 10%.

2. Jersi player issue

Selain jaminan tiket, pemberian jersi player issue turut menjadi faktor utama bagi penyokong untuk membeli pas bermusim. Dalam aspek ini, kesemua pasukan memberi jersi terbaru masing-masing – kecuali Terengganu yang hanya memberikan diskaun 5% dan JDT yang memberikan jersi fan issue sahaja.

(Dikemaskini pada 29 Januari 2019)

3. Ruang parkir khas

Antara faktor utama yang memberi lebih motivasi bagi penyokong untuk membeli pas bermusim paling mahal. Di sini, hanya Selangor dan Kedah yang dapat menjamin keselesaan penyokong mereka yang berkereta.

4. Akses perlawanan home

Jaminan tiket perlawanan home adalah nilai wajib ada dalam pas bermusim. Kesemua pasukan tiada masalah di sini.

5. Keutamaan membeli tiket tambahan (perlawanan biasa)

Keistimewaan ini penting untuk memastikan pemegang pas bermusim dapat menjalankan tugas tak rasmi mereka sebagai ‘duta’ pasukan untuk mengajak lebih ramai rakan dan keluarga mereka ke stadium. Hanya JDT yang tidak memberikan keistimewaan ini.

6. Faedah dari penaja

Keistimewaan ini menjamin sokongan penyokong kepada penaja pasukan. Hanya Terengganu yang menawarkan nilai ini kepada penyokongnya (dalam bentuk diskaun pembelian produk penaja).

7. Kad keahlian

Benda wajib untuk membezakan pemegang pas bermusim dengan pembeli tiket biasa. Turut digunakan sebagai tiket perlawanan. Kesemua pasukan tiada masalah di sini.

8. Jamuan

Nampak tidak penting, tetapi mampu menarik minat penyokong – terutamanya yang mahukan layanan VIP. Hanya Kedah yang menawarkan nilai ini.

9. Akses kepada pemain

Antara nilai menarik yang mampu mengeratkan hubungan pemegang pas bermusim dengan pemain. Hanya JDT dan Kedah yang menyatakan keistimewaan ini dalam promosi pas bermusim mereka.

10. Keutamaan membeli tiket perlawanan akhir

Dengan perlawanan akhir yang biasanya dianjurkan di gelanggang neutral, pemegang pas bermusim pastinya tidak mahu terlepas kebarangkalian menyaksikan hero mereka menjulang piala memandangkan tiket terhad. Kesemua pasukan menyediakan kelebihan ini kepada pemegang pas bermusim mereka.

(Dikemaskini pada 29 Januari 2019)

Rumusan

Berbaloi atau tidak untuk membeli pas bermusim pasukan kegemaran anda, ianya terpulang kepada keutamaan anda. Jika anda membandingkan harga, jelas Selangor menang kerana mereka mensasarkan ‘volume’ jualan berbanding ‘margin’. Dari segi values proposition, kami masih mendapati Selangor menang. Meskipun Kedah menawarkan values yang banyak (terutamanya untuk pemegang pas paling mahal), ia masih tidak dapat menewaskan tarikan values oleh Selangor yang banyak dan sangat berpatutan.

Bagaimana pula dengan anda? Sudahkah anda mendapatkan pas bermusim pasukan anda? Jika pasukan anda masih belum menjual pas bermusim, apakah harga yang anda rasakan bersesuaian dan apakah values yang anda mahu? Berikan pendapat anda di ruangan komen.

Maklumat lanjut tentang pas bermusim 4 pasukan Liga Super musim 2019 boleh didapati di sini:

  1. Selangor
  2. JDT
  3. Kedah
  4. Terengganu

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN