Kaka Umum Gantung But Sebagai Pemain, Mahu Ceburi Bidang Pengurusan

Bekas bintang Piala Dunia Brazil, Kaka atau nama sebenarnya Ricardo Izecson dos Santos Leite mengumumkan persaraan selaku pemain, sambil menjelaskan akan beralih angin ke arena pengurusan.

“Saya bersedia untuk terus berada dalam bola sepak dan mengambil peranan yang berbeza, tetapi saya tidak lagi pemain profesional, seorang atlet,” kata Kaka yang juga bekas pemenang Ballon d’Or 2007 kepada stesen televisyen Globo.

“Saya mahu mengambil bahagian dalam kelab dengan peranan seperti pengurus, pengarah sukan, seseorang di antara padang dan kelab.”

Pemain yang berusia 35 tahun itu menjadikan AC Milan antara destinasi berkemungkinan untuk memulakan kerjayanya dalam bidang pengurusan.

Menerusi laman sosial Twitter miliknya, Kaka yang berada dalam skuad Brazil yang memenangi Piala Dunia 2002 menulis rasa kesyukuran dan bersedia untuk mengharungi cabaran berikutnya.

Kaka memulakan karier ketika bersama kelab Sao Paulo di Brazil, prestasinya menarik minat beberapa kelab ternama Eropah sebelum berhijrah ke Itali untuk menyertai Milan pada 2003.

Beliau turut memenangi anugerah Ballon d’Or yang juga pemain terbaik dunia ketika di Milan dan menjadi pemain terakhir selain Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi memenangi gelaran berkenaan.

Kaka juga sempat membantu gergasi Itali, AC Milan menjuarai Serie A pada musim 2003-04 selain menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2007 dengan menjaringkan 10 gol yang juga gelaran Eropah ketujuh kelab berkenaan.

Kaka cipta sejarah menjuarai UEFA Champions League ketika bersama AC Milan (Photo credit should read GIUSEPPE CACACE/AFP/Getty Images)

Dianggap antara pemain tengah menyerang terbaik dunia, Kaka menyertai Real Madrid pada 2009 dengan perpindahan memecah rekod dunia AS$89 juta (RM363.08 juta) tetapi gagal untuk tampil dengan aksi konsisten.

Dia menjulang Piala Raja Sepanyol pada 2011 dan menjadi sebahagian daripada skuad kendalian Jose Mourinho yang menjuarai La Liga setahun kemudian tetapi kembali ke Milan pada September 2013 secara percuma.

Pada 2014, dia menyertai kelab Liga Bola Sepak Major Orlando City dan menjadi pemain menerima gaji tertinggi di Amerika Utara selama tiga tahun sebelum meninggalkannya pada Oktober lalu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram