Kagum Dengan Arsenal Baharu, Sagna Sedih Bagaimana Wenger Disisihkan

Bekas pemain Arsenal, Bacary Sagna menyifatkan kehadiran Unai Emery sebagai pengurus baru The Gunners telah berjaya menyemarakkan semangat para pemain untuk merealisasikan kemenangan di setiap perlawanan.

Katanya, pemain Arsenal pada ketika ini dilihat lebih bekerja keras berbading ketika kelab itu dibimbing oleh Arsene Wenger satu ketika dahulu.

Beliau turut berpendapat perubahan ini juga disebabkan dedikasi dan usaha keras Emery yang telah berjaya membawa Arsenal keluar dari bayangan 22 tahun ketika dibawah kendalian Wenger.

Emery dilantik menggantikan Wenger selepas pengendali dari Perancis itu meninggalkan Emirates pada musim lalu – Arsenal sekadar berada di kedudukan ke-6 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim terakhir Arsene Wenger.

Sejak awal kempen musim ini, Emery berdepan tugas sukar apabila dua aksi pertama berakhir dengan kekalahan di tangan Manchester City dan Chelsea. Namun selepas itu mereka telah berjaya bangkit untuk merekodkan 11 kemenangan perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Kebangkitan luar biasa

Sebagai bekas pemain Arsenal selama 8 tahun, Sagna berpendapat ia satu perkara menakjubkan apabila melihat prestasi The Gunners pasca era Arsene Wenger.

Berdasarkan pemerhatian Sahna, Arsenal ketika ini dilihat lebih kuat dalam masa beberapa bulan selepas kelab itu bertukar pengurus.

“Ia pelik. Dari tahun ke tahun,  dan kini ia benar-benar gila,” kata Sagna kepada SkySport.

“Mereka menikmati pra musim untuk menenangkan fikiran mereka dan kembali untuk lebih kuat.”

Tatkala prestasi Arsenal kini dilihat terganggu setelah hanya berjaya meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan – Emery tetap dianggap berjaya kerana mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan kendaliannya sejak bulan Ogos lalu.

Sedih dengan nasib Wenger di Arsenal

Sagna turut berbicara mengenai nasib bekas pengurusnya itu di Arsenal. Bagi Sagna, beliau mengakui amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku keatas Wenger.

Sagna berkata, ramai pihak seperti tidak menghormati sumbangan bekas pengurus itu yang telah mencapai pelbagai kejayaan selama 22 tahun yang lalu bersama The Gunners.

“Saya merasa sedih melihat mereka (Arsenal) mengalami kesulitan dalam dua tahun terakhir. Saya turut sedih melihat nasib Arsene Wenger yang pergi saat itu.”

“Dia memberikan segala dalam hidupnya untuk kelab ini. Memang segalanya tidak akan sempurna dan banyak orang terlalu seperti berkasar kepada beliau.”

“Arsenal menjadi ‘Arsenal’ adalah kerana jasa beliau. Wenger adalah orang yang menjadikan Arsenal seperti pada hari ini,” ujar Sagna.

Bagaimanapun, Sagna tetap gembira melihat kebangkitan prestasi pemain Arsenal pada ketika ini.

“Namun, sekarang saya bahagia kerana melihat pemain gembira dan mereka sepertinya memberi fokus sepenuhnya  kepada projek ini.”

Katanya lagi, “Ia seolah-olah telah memberi mereka lebih banyak peluang di padang dan itu adalah hasil usaha dari mereka. Saya sangat gembira melihat kelab itu kembali ke tahap terbaik. Arsenal tetap berada di hati saya, ia adalah kelab saya.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram