Alasan Mahu Potong Gaji Tak Masuk Akal, KAFA Perlu Hormat Kontrak Pemain

Cadangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk memotong gaji pemain The Red Warriors (TRW) sepanjang tempoh Liga Malaysia (Liga-M) ‘direhatkan’ telah mengejutkan banyak pihak.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman ketika ditemubual Berita Harian yang menjelaskan pihaknya terpaksa mengambil pendekatan itu bagi mengelak kewangan persatuan itu terus sesak.

Beliau turut menjelaskan ketiadaan perlawanan yang berlangsung sepanjang penangguhan perlawanan telah menyebabkan tiada hasil kutipan tiket yang dapat dikutip yang mana ianya digunakan untuk pembayaran gaji pemain.

“Kita harap pemain dapat memberi kita sedikit ruang berhubung isu pembayaran gaji kerana ketiadaan perlawanan menyebabkan pendapatan kita berkurangan.

“Ketiadaan perlawanan juga menyebabkan kita susut kira kira RM100,000 bagi setiap perlawanan di mana kutipan tiket memang diperlukan untuk menampung perbelanjaan pasukan.

“Jadi kita akan bertemu pemain dan cuba berbincang mengenai keperluan untuk memotong gaji. Ia bukanlah pemotongan tetap namun lebih bersifat sementara sehinggalah liga bersambung kembali nanti,” katanya.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Satiananthan tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana setiap pasukan perlu menghormati kontrak yang telah ditandatangani dan semua perlawanan bukan dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan.

“Saya rasa ia bukan cadangan yang praktikal kalau gaji perlu dipotong kerana tiada perlawanan. Memang ketika ini tiada perlawanan berlangsung tetapi harus diingat, jumlah perlawanan liga tetap 22 perlawanan,” kata Ketua Jurulatih Selangor itu.

“Setakat ini pun, tiada pengumuman liga akan dipendekkan atau jumlah perlawanan perlu dikurangkan tetapi kalau itu terjadi, mungkin kita boleh pertimbangkan (pemotongan gaji).

“Mungkin bulan ini tiada perlawanan tetapi selepas liga bersambung nanti, mana tahu ada lebih banyak perlawanan disusun dalam tempoh sebulan dan dari situ, lebih banyak kutipan tiket boleh diperoleh.”

Tambah Satia lagi, pasukan tidak sepatutnya bergantung kepada kutipan tiket untuk membayar gaji pemain kerana hasilnya tidak konsisten dan ianya tidak menepati Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diperkenalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bermula musim ini.

ECP telah menetapkan semua pasukan mempunyai dana yang kukuh untuk menghadapi saingan Liga-M sepanjang musim.

Kredit Foto: Kelantan FA

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Kelantan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram