KAFA: Jangan Buat Siaran Langsung ‘Haram’!

Selepas syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) sah menjadi penaja rasmi utama Liga Malaysia (Liga-M) selama tiga tahun mulai musim ini, seharusnya semua pihak bersyukur kerana ianya memberikan banyak kebaikan kepada arena bola sepak negara kita.

Semua 24 pasukan mendapat ‘tempiasnya’ apabila masing-masing telah pun menerima agihan dana peringkat pertama dengan nilai keseluruhan sebanyak RM18 juta.

Sebagai balasan, TM telah memegang hak sebagai penyiar rasmi bagi semua perlawanan Liga-M di bawah kendalian Unifi. Semua pihak boleh menonton perlawanan dengan membeli pas untuk satu perlawanan, bulanan, tahunan atau VVIP.

Namun demikian, masih terdapat segelintir pihak yang sama ada dengan sengaja ataupun tidak sengaja membuat penstriman perlawanan secara langsung dan menyiarkannya di media sosial. Kesalahan tersebut berlaku antaranya ketika perlawanan pertama Liga Premier di antara Kuala Lumpur dan Kelantan tempoh hari.

Oleh itu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah memberikan amaran untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang didapati membuat siaran langsung secara haram melibatkan aksi The Red Warriors (TRW) menerusi plaftrom media sosial sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, langkah itu bertepatan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysua (MFL) yang melarang semua siaran langsung membabitkan saingan dibawah kelolaan badan berkenaan.

“Tiada pihak lain dibenarkan untuk membuat ‘live streaming’ kecuali pihak produksi yang telah dilantik oleh Unifi.

“KAFA bimbang sekiranya ada penyokong ‘nakal’ yang berbuat demikian boleh menyebabkan badan induk ini berdepan hukuman dari MFL.

“Sebagai langkah awal, KAFA akan menjalinkan kerjasama dengan pasukan keselamatan Stadium Sultan Muhammad IV untuk memantau perkara tersebut,” katanya.

Hussin turut menegaskan KAFA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati bersalah melanggar peraturan tersebut kerana pihaknya tidak mahu berdepan dengan hukuman berat daripada pihak MFL.

Beliau mengharapkan para penyokong faham dan menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh MFL.

“Bukan sahaja aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, malahan peraturan ini turut dipakai semua stadium, setiap kali melibatkan saingan bawah kelolaan MFL,” ujarnya lagi.

Kredit Foto: Kelantan FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram