KAFA: Demi Selamatkan Kelantan, Derma RM1, RM2 Pun Kami Terima

Iklan

KAFA Derma

Entah sudah berapa kali pasukan ini jatuh dan berkali-kali juga mereka ditimpa tangga. Perkembangan terbaharu di mana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan untuk membayar tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus tentunya satu tamparan yang maha dahsyat.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hanya memberikan tempoh 30 hari sahaja bermula 23 April lalu untuk KAFA menjelaskan gaji tertunggak tersebut yang berjumlah RM629,620.28 dan berisiko untuk digantung sekiranya gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, KAFA telah bertindak melancarkan kutipan derma atas talian demi menyelematkan persatuan itu kerana pandemik COVID-19 yang sedang melanda ketika ini menyebabkan pihaknya tidak ada cara lain untuk mendapatkan sumber pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid yang dihubungi oleh SemuanyaBOLA menjelaskan, dari segi kemampuan persatuan untuk membayar itu agak membebankan kerana mereka juga masih perlu membayar gaji pemain-pemain pasukan sedia ada yang sudah terikat dengan kontrak.

“Tapi apabila berlakunya tuntutan dari Cassio dan FIFA mengarahkan ianya diselesaikan dalam tempoh 30 hari, itulah yang menyukarkan kami kerana semua transaksi kewangan kami terhenti kerana pandemik COVID-19.

“Nak jual jersi pun tak boleh, nak buat kutipan tiket pun tak boleh, rakan penaja pun untuk kemasukan duit tajaan kali kedua pun sudah mula mendiamkan diri. Semuanya disebabkan pandemik yang sedang melanda di seluruh dunia ketika ini,” katanya lagi.

“Bila diminta untuk menjelaskan bayaran tersebut dalam masa 30 hari, kami ‘terduduk’ jugalah, sebab duit yang kami ada sekarang adalah untuk pengurusan semasa terutama dalam membayar gaji pemain.

“Jika kami salurkan duit ke ‘sana’, macam mana kami nak memastikan nasib dan kebajikan pemain sedia ada ini terbela. Sebenarnya kewangan KAFA sudah semakin baik dan segala perancangan sudah berjalan dengan lancar, cuma dengan kehadiran ujian Allah iaitu COVID-19, banyak perkara yang terbantut.”

Apabila ditanya adakah KAFA ada meletakkan sasaran jumlah kutipan sumbangan, Muzakkir menjawab pihaknya berharap ianya boleh mencecah sehingga RM600,000 sehingga hujung bulan ini.

#SIARANMEDIAKAFAKAFA BUKA DERMA ATAS TALIAN SELAMATKAN BOLASEPAK KELANTAN9 Mei 2020Merujuk kepada perkembangan…

Posted by Kelantan FA on Saturday, 9 May 2020

“Kita ada penyokong fanatik sehingga ratusan ribu, katakanlah jika mereka menderma RM1 setiap orang pun, kita boleh kutip sehingga RM200,000 hingga RM300,000. Apatah lagi jika mereka menderma RM5, RM10 dan hari ini kami juga ada terima sehingga RM100.

“Walaupun kami ada juga menerima kecaman daripada segelintir penyokong, tetapi kami tidak akan berputus asa demi menyelamatkan pasukan ini kerana nilai sentimen ‘The Red Warriors’ ini terlalu besar untuk dibiarkan ia terkorban.”

“Dengan rasa rendah diri, KAFA merayu serta menagih simpati kepada semua pihak untuk sama-sama membantu dalam hal ini demi pasukan kesayangan kita. Bantulah dengan semampunya.”

Kredit Foto: Kelantan FA

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Kelantan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram