KAFA Bergantung Kepada Bantuan FAM Untuk Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Illias Khan mengesahkan pemain skuad The Red Warriors (TRW) telah menerima pembayaran insentif baru-baru ini sebagai duit belanja untuk membeli barangan dan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau menjelaskan bayaran itu adalah sumber daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan bayaran tertentu. Walaupun jumlahnya tidak dinyatakan, namun Bibi Ramjani mengakui kantung kewangan Kelantan sudah kering, sekali gus berhadapan masalah untuk membayar gaji pemain dan pegawai.

“Seperti saya maklum sebelum ini bahawa tidak akan lagi mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membayar gaji pemain kerana ada pihak yang kononnya sudi tampil untuk mengambil alih tampuk pemerintahan KAFA.

“Namun, sehingga kini individu yang dimaksudkan itu tidak juga tampil dan keadaan itu jika berlanjutan mungkin pemain yang menjadi mangsa.

“Saya tidak akan membiarkan pemain tidak dibayar gaji apabila mengambil inisiatif mendapatkan dana daripada pihak tertentu untuk melangsaikannya,” katanya kepada Arena Metro.

FOTO: Kelantan FA

Menurut sumber, skuad piala presiden Kelantan juga masih belum menerima pembayaran elaun seperti yang dijanjikan dan beberapa pemain mungkin akan menarik diri daripada beraksi dengan pasukan itu.

Mengulas mengenai isu tersebut, setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sedia membantu memberikan khidmat nasihat kepada ahli gabungan yang menghadapi masalah berkaitan pengurusan dan kewangan.

“Saya sedia maklum ada beberapa pasukan ketika ini menghadapi masalah antaranya adalah Kelantan dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan ada juga menghubungi kami meminta pandangan.

“Jika berkaitan nasihat atau pandangan tiada masalah untuk kami bantu namun jika meminta bantuan untuk mencampuri urusan pentadbiran atau beberapa perkara sensitif, ia di luar kawalan kami,” katanya.

Stuart juga menjelaskan pemberian wang kepada KAFA sebelum ini bukannya hutang atau tunggakan tetapi ia adalah beberapa bayaran yang perlu dilangsaikan oleh FAM.

“Kami sudah menyerahkan wang terbabit kepada KAFA namun jumlahnya tidak boleh dinyatakan,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram