K. Rajagopal: “Panggilan Untuk Negara Lebih Penting Untuk Rodney & Firdaus”

Kerjasama Semuanya BOLA

Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal sedia melepaskan dua pemainnya untuk menyertai skuad Bawah 23 Tahun Malaysia ke saingan Sukan Asia bulan depan.

Beliau berkata demikian kepada PKNS FC ketika diminta mengulas mengenai situasi penarikan diri skuad muda negara jika gagal mengumpulkan minimum 18 orang pemain ke temasya itu.

“Panggilan untuk negara adalah lebih penting!” kata Rajagobal yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2010.

2 pemain yang dipanggil daripada pasukan PKNS FC adalah tonggak pertahanan, Rodney Calvin Akwensivie dan penyerang, Jafri Firdaus Chew.

“Jika negara perlukan mereka, saya akan lepaskan mereka,” kata Rajagobal semasa sidang media selepas perlawanan menentang Pahang, Sabtu lalu.

Rajagobal akan berbincang dengan pengurusan bagi pelepasan kedua-dua pemain ini dan akan mengkaji kebaikan dan keburukan kepada pasukan.

“Sebagai bekas jurulatih kebangsaan, keutamaan adalah untuk negara dan saya faham keresahan yang dialami Ong Kim Swee,” tambah Rajagobal.

Datuk Rajagobal mengendalikan sesi latihan pasukan PKNS FC. Foto: PKNS FC

Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee semalam menegaskan beliau tidak pernah memikirkan untuk menarik diri dan menjelaskan kenyataannya disalah ertikan oleh pihak media.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa skuad muda negara mahu tarik diri daripada Sukan Asia 2018 dan sebaliknya saya menjelaskan peraturan sebenar tentang senarai pemain minimum ke kejohanan tersebut.

“Saya menjawab soalan daripada media mengenai kesan menepati membawa 18 pemain minimum ke Sukan Asia 2018 dan bukan intipati agenda untuk tarik diri daripada kejohanan itu,” katanya kepada Berita Harian..

Setakat ini, Johor Darul Takzim (JDT) menjadi pasukan pertama yang melepaskan 8 orang pemainnya ke kem latihan pusat skuad muda negara.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram