K. Rajagobal: Dan Sejak Itulah, Biru Menjadi Jersi Bertuah Kami

Rajagobal AFF Suzuki 2010 Akhbar

Masih ingat Kejohanan AFF Suzuki 2010? Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dibelasah 1-5 oleh tuan rumah, Indonesia pada perlawanan pembukaan. Siapa sangka, kesudahannya Malaysia berjaya menjuarainya buat kali pertama.

Sepanjang lapan edisi sebelum itu, Malaysia belum pernah menjuarai kejohanan dwi tahunan tersebut, malah hanya sekali layak ke pentas final iaitu pada edisi pertama ketika Kejohanan Piala Tiger (sebelum ditaja oleh Suzuki) di Singapura.

Pengendali skuad negara, Datuk K. Rajagobal mempertaruhkan skuad muda dengan beberapa pemain senior seperti Razman Roslan, Amri Yahyah dan Safee Sali untuk terbang ke negara musuh nusantara, Indonesia kira-kira 10 tahun lalu.

Penyerang ikonik negara, Safee Sali meledak jaringan pertama buat skuad negara pada minit ke-18 memberikan petanda, mungkin malam tersebut akan menjadi malam yang indah buat Malaysia, namun akhirnya sebaliknya telah berlaku.

Bermula dengan jaringan sendiri pertahanan kiri, Asraruddin Putra Omar, empat minit kemudian, maka bermulalah malam terburuk buat skuad negara, dibelasah tanpa belas ehsan oleh musuh ketat, Indonesia di halaman mereka sendiri.

Dua pertahanan tengah yang masih muda, Muslim Ahmad yang ketika itu berusia 21 tahun dan Fadhli Shas (19 tahun), pastinya telah ranap moralnya serta semangat mereka untuk menempuhi baki aksi Kumpulan A menentang Thailand dan Laos.

Namun, mujur buat Malaysia, Thailand juga melalui kejohanan yang kurang baik. Bermula dengan keputusan seri 2-2 menentang Laos dan kemudian diikat skuad negara yang masih membariskan Muslim Ahmad dan Fadhli Shas di benteng tengah.

Malaysia menang besar 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan ke atas Laos, seterusnya mengiringi Indonesia ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan dan bakal bertemu juara Kumpulan B, Vietnam di halaman sendiri dahulu.

Safee-Sali-Malaysia-Indonesia-AFF-2010-Final
Jaringan Safee Sali dalam pentas final menentang Indonesia. Malaysia 2-0 Indonesia. FOTO: AFF SUZUKI

Dua gol Safee Sali di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah cukup untuk membawa Malaysia melangkah ke final menewaskan Vietnam selepas aksi di Stadium My Dinh berkesudahan tanpa jaringan. Malaysia akan kembali bertemu Indonesia.

Malaysia berhasil membalas semula kekalahan memalukan di peringkat kumpulan hasil tiga gol Safee Sali dan Ashaari Shamsuddin untuk Malaysia menang 4-2 secara agregat ke atas Indonesia dan menjulang trofi AFF Suzuki buat kali pertama.

Bercerita mengenai kejohanan tersebut kepada portal Padang Bolasepak, K. Rajagobal mengakui sebenarnya selepas tewas besar 1-5 dalam aksi pembukaan, memang ada sekelumit di hatinya kekecewaan dan hilang semangat.

“Sebagai jurulatih, jelas sekali saya terkejut dan kecewa, tetapi tidaklah sehingga saya hilang kepercayaan kepada barisan pemain saya,” tulis K. Rajagopal.

“Selepas berbincang bersama Tan [Tan Cheng Hoe] dan melihat semula rakaman perlawanan pada malam itu. Kami telah menyimpulkan bahawa kami bermain baik secara berpasukan, tetapi disebabkan kesilapan individu kami dibelasah 1-5.

“Saya harus membuat apa yang perlu bagi membangkitkan semula pemain dari segi psikologi untuk aksi seterusnya berdepan Thailand,” cerita K. Rajagobal lagi.

“Saya telah membuat sedikit rombakan dalam kesebelasan pasukan. Dan ketika itulah biru mula menjadi jersi bertuah buat kami sepanjang kejohanan, mungkin saya akan ceritakan hal itu di kemudian hari,” ujarnya lagi dalam tulisannya.

“Apa yang saya mahu kongsikan adalah, kami mungkin hilang harapan pada langkah pertama, tetapi kami tidak pernah hilang harapan sepanjang perjalanan dalam kejohanan tersebut,” jelas K. Rajagobal sebelum menutup bicaranya.

KREDIT FEATURED IMAGE: PADANG BOLASEPAK

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN