K. Devan: Perpindahan PJ City Ke Petaling Jaya Adalah Satu Tindakan Yang Bagus

Pengendali PJ City FC, K. Devan percaya perpindahan lokasi latihan daripada Nilai, kembali ke Petaling Jaya akan membantu mereka membentuk skuad yang lebih baik berbanding musim lalu.

Musim lalu, PJ City telah berpusat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai sebagai tempat latihan dan menggunakan stadium MBPJ di Petaling Jaya. Satu jam perjalanan antara kedua-dua lokasi.

Untuk musim 2020, mereka kekal beraksi di stadium yang sama tetapi pengurusan pasukan telah memindahkan semula pasukan ke Petaling Jaya dan menggunakan kemudahan di Universiti Malaya.

Menurutnya, kembalinya The Phoenix ke bandar Petaling Jaya telah mendekatkan mereka dengan penyokong dan akan mampu untuk menarik dan juga mengukuhkan sokongan para penyokong.

“Saya rasa ini satu tindakan yang bagus dengan memindahkan pasukan ke sini [Petaling Jaya],” jelas K. Devan dalam video yang dimuat naik oleh laman Facebook rasmi PJ City FC, pagi tadi.

“Kemudahan di Universiti Malaya ini adalah bagus. Kita ada dua padang latihan. Kita juga dapat lihat penyokong kita di sesi latihan pasukan selain mendapat sokongan baik pengurusan universiti.

“Kita juga telah mendapat banyak liputan pihak media. Persiapan kita juga menjadi semakin baik dan saya harap ini akan membantu kita membina semula kumpulan penyokong kita,” tambahnya.

Bercakap mengenai persiapan pasukan ketika ini, pengendali berusia 52 tahun itu menyatakan sedang menanti beberapa pemain tempatan dan import untuk melengkapkan skuadnya.

“Kita telah kumpulkan skuad baharu. Kalau dilihat hampir 60 ke 70 peratus adalah pemain baharu. Kita telah memulakan pra-musim kita minggu lalu. Ketika ini kita sedang fokus untuk meningkatkan tahap kecergasan mereka,” jelasnya sambil meluahkan keyakinan PJ City bakal mempamerkan saingan yang lebih baik selepas ini.

“Kita masih menanti kemasukkan beberapa pemain tempatan lagi. Satu atau dua pemain lagi. Dan juga, tiga lagi pemain import akan menyertai pasukan beberapa minggu lagi,” tambahnya lagi.

Sehingga kini, K. Devan mengesahkan PJ City telah mendapatkan beberapa pemain berpengalaman seperti R. Kogileswaran dan A. Salomon Raj daripada Pahang, K. Gurusamy (PKNS FC) serta pemain sayap, Christie Jayaseelan daripada FELDA United.

Kredit Foto: NSTP / Zulfadhli Zulkifli.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram