Jurulatih Jepun Salahkan Lawan Main ‘Parking Bas’, Jurulatih Tajikistan Bangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Tajikistan mengejutkan pasukan Jepun dengan mengikat Samurai Biru tanpa jaringan.

Ianya sekaligus menghidupkan semula peluang pasukan ini untuk mara ke pusingan kalah mati. Mereka ada -4 pada perbezaan jaringan, dan Thailand ada -1.

Tajikistan memiliki beberapa peluang untuk memenangi perlawanan ini walaupun ianya didominasi penuh oleh Jepun.

Jurulatih Tajikistan, Zaynidin Rakhimov menganggap keputusan seri dengan Jepun sebagai satu pencapaian membanggakan. Beliau menyatakan yang kekalahan di tangan Malaysia membuatkan mereka belajar banyak perkara.

Beliau berkata:

“Selepas kekalahan di tangan Malaysia pada perlawanan pertama, kami melakukan beberapa pertukaran taktik dan fokus kepada aspek pertahanan.”

“Kami melakukan analisis ke atas permainan Jepun daripada perlawanan mereka sebelum ini. Dan inilah hasil yang kami dapat.”

“Ya saya bangga, seri dengan pasukan seperti Jepun satu pencapaian membanggakan untuk pasukan seperti kami.”

“Kami juga mahu beterima kasih kepada penyokong yang hadir dan memberikan sokongan kepada kami.”

“Kami masih ada peluang untuk mara ke pusingan seterusnya. Jadi kami akan mencuba sedaya upaya dalam perlawanan menentang Thailand.”

Jurulatih Jepun, Yoshiro Moriyama nampak agak kecewa dengan keputusan ini dan tak bersembunyi telah mengkritik pendekatan pasukan lawan.

Beliau tidak setuju dengan pertukaran 7 pemain adalah punca Jepun gagal membentuk pasukan lebih baik pada perlawanan ini.

Beliau bukannya memandang rendah kepada lawan tetapi mahu memberikan lebih peluang kepada para pemainnya. Yoshiro Moriyama berkata:

“Imbas kembali perlawanan tadi, mereka bermain dengan taktik defensif. Kami sukar nak memecah masuk kawasan mereka.”

“Pada separuh masa kedua, kami mengubah formasi kami sedikit dan banyak bermain di bahagian sayap.”

“Dengan cara ini kami mampu masuk sedikit ke dalam kawasan bahaya. Namun masih sukar untuk pecahkan pertahanan mereka.”

“Jelas sekali sekarang kami perlu menang ke atas Malaysia untuk menjadi juara kumpulan ini. Situasi Malaysia pun sama dengan kami, mereka perlu menang.”