Jurulatih Bulgaria: Bukan Penyokong Kami Yang Rasis, Tetapi England!

Iklan

Jurulatih Bulgaria, Krasimir Balakov akhirnya bersuara mengenai isu ejekan perkauman dalam kalangan penyokong negaranya. Beliau menegaskan England menghadapi masalah yang jauh lebih besar di negara mereka sendiri sebelum ini.

Bulgaria akan menerima kunjungan England untuk perlawanan peringkat kumpulan pusingan kelayakan EURO 2020 di Sofia pada awal pagi esok.

Perlawanan berkenaan dibayangi isu perkauman selepas pemain England mengeluarkan kenyataan mereka akan berhenti bermain dan keluar dari padang sekiranya terdapat mana-mana pemain mereka diejek sewaktu perlawanan sedang berlangsung.

Sebahagian ruang di Stadium Nasional Vasil Levski akan dikosongkan selepas Badan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengarahkan 5,000 daripada 46,340 tempat duduk ditutup berikutan insiden ejekan perkauman terhadap pemain Kosovo dan Republik Czech oleh penyokong Bulgaria pada Jun lepas.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bulgaria, Borislav Mihaylov juga telah menulis aduan kepada UEFA mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap pihaknya. Mereka menegaskan Bulgaria sebenarnya tidak menghadapi masalah [perkauman] tersebut.

“Dalam kejohanan bola sepak di Bulgaria, kami ada banyak pemain yang berbeza etnik dan warna kulit. Saya tidak fikir kami pernah ada masalah perkauman, tetapi England ada!” jelas Balakov kepada BBC.

“Maksud saya, di sini kami tiada masalah seperti itu, tetapi beberapa insiden [perkauman] tersebut berlaku hampir di setiap peringkat kejohanan dalam bola sepak Inggeris.

“Pada saya ianya normal bagi sebuah negara besar yang mempunyai kepelbagaian penduduk. Tetapi kami tidak menghadapi masalah seperti itu di Bulgaria. Saya berani jamin!

Balakov turut disoal mengenai apa yang perlu dirisaukan pemain England dalam kunjungan mereka ke negaranya, beliau menjelaskan sebenarnya tidak timbul isu ejekan perkauman dalam mana-mana perlawanan antarabangsa sebelum ini.

“Sekali lagi saya ingin berpesan kepada semua orang, cuba fokus untuk fikirkan dan bercakap hanya tentang bola sepak kerana itulah sebab mengapa kita berada di sini. Tak perlu perbesarkan perkara yang sebenarnya tidak pernah pun berlaku.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram