Jurgen Klopp Puji Mohamed Salah Sehebat Robert Lewandowski

Jurgen Klopp puji Mohamed Salah sehebat Robert Lewandowski dengan beliau telah menyamakan kedua-dua pemain itu dari segi mentaliti mereka untuk menjaringkan gol.

Pengurus Liverpool itu turut menyatakan yang Salah merupakan salah seorang dari pemain penyerang terhebat dunia yang pernah beliau lihat.

‘The Egyptian King’ itu sedang dalam usahanya untuk menjaringkan gol ke-100 beliau dalam saingan Premier League untuk Liverpool.

Awal minggu ini, Klopp memberi pesanan video kepada Robert Lewandowski selepas kejayaan beliau menjaringkan 41 gol musim lalu yang membantunya memenangi kasut emas bersama Juara Bundesliga, Bayern Munich.

Klopp tidak dinafikan merupakan individu terawal yang membantu Lewandowski mendapatkan persembahan terbaiknya ketika mereka bekerjasama di Signal Iduna Park.

Beliau membawa Lewandowski dari Lech Poznan untuk menyertai Borussia Dortmund pada tahun 2010 lalu dengan yuran perpindahan bernilai £3.8 juta.

Klopp sebelum ini pernah menggambarkan bintang Bayern Munich itu sebagai salah seorang pemain terhebat yang pernah beliau kendalikan.

Pengurus dari Jerman itu kini menyatakan yang beliau meletakkan bintang utamanya, Mo Salah sebagai pemain terbaik sebaris dengan bintang Poland itu.

“Saya tak pasti jika saya kata Lewy merupakan pemain terbaik pernah saya uruskan.”

Jelas Klopp.

“Soalan pada ketika itu saya rasa, ‘pemain mana menunjukkan peningkatan terbaik?’

“Ia merupakan Lewy, sangat jelas kerana saya nampak sendiri siapa dia ketika mula tiba di Dortmund.”

“Kami pantau dia selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu, dia menunjukkan peningkatan yang menakjubkan, namun bila dia tiba, masih ada hal yang perlu untuk dia perbaiki.”

“Dia pada hari ini sungguh luar biasa mengagumkan.”

“Mo Salah saya pasti berada sebaris dengan dia, tidak ada keraguan tentang itu. Mo merupakan mesin pencetak gol. Itu pasti.”

“Tahap profesional dia tidak boleh dinafikan. Dia sentiasa lakukan segalanya untuk kekal cergas dan mahu sentiasa berada di tahap yang terbaik. Pertama tiba, terakhir pulang, semua sikap ini merupakan sikap Mo.”

“Tambahan pula, selain dari kemampuan teknikal dia, dia sangat terdesak untuk menjaringkan gol dan ia juga sangat membantu sebenarnya.”

“Itu juga sebenarnya bagaimana sikap Lewy. Ia sangat bagus dan sangat membantu untuk seorang pemain bola sepak.”

“Apa saja kamu lakukan di atas padang, apa saja kamu cipta, kamu perlu seseorang yang akan membawa bola ke atas dan menjaringkan gol.”

“Mo, saya jamin dia antara pemain terbaik pernah saya lihat, dia juga tahu tentang itu.”

Liverpool pada ketika ini dalam usaha mereka untuk menawarkan kontrak baru kepada Mo Salah dengan mereka sudah berjaya mengekalkan pemain seperti Alisson Becker, Fabinho, Trent Alexander Arnold, Virgil Van Dijk, Jordan Henderson dan Andy Robertson pada musim panas baru-baru ini.

Salah sepanjang musim ini sudah berjaya menjaringkan lima gol dan meletakkan beliau di kedudukan 10 teratas sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di Anfield.

Klopp sendiri tidak mahu membahaskan isu kontrak Mo Salah yang sebelum ini sempat menjadi topik perbualan hangat para peminat, dengan beliau tidak pernah meragui komitmen pemainnya itu.

“Nombor yang dia sudah rekodkan sungguh luar biasa. Saya jelas sekali sangat berbangga dapat bekerjasama dengan pemain yang hebat sepanjang karier saya.”

“Adakah Mo jangka yang dia akan capai semua ini ketika awal ketibaannya? Mungkin ya.”

“Adakah saya jangkakan itu? Tidak, kerana kamu tak boleh menjangkakan itu untuk mengelak dari meletakkan tekanan pada pemain.”

“Tapi dia sudah capai kejayaan yang sungguh menakjubkan sejak dari awal ketibaannya. Kita pernah bermain permainan yang sangat hebat, yang mana skuad berkembang dengan cara yang betul dan Mo memberikan impak yang sungguh mengagumkan.”

“Jadi untuk yang lain saya tidak tahu. Tidak ada sesiapa akan jangka rekod dan pencapaian seperti ini kerana kamu semua tidak akan tahu apa akan berlaku.”

“Kamu perlu kekal cergas dan semuanya perlu berada di landasan yang betul, itulah kenyataannya.”

“Saya tidak boleh lebih positif tentang segala pencapaian Mo pada ketika ini, tapi jelas sekali, kami semua lebih menumpukan tentang apa lagi yang boleh dia capai selepas ini.”

“Pada ketika ini, dia sedang berada di tahap yang terbaik, fizikal yang terbaik, mood terbaik, semua hal seperti ini ia telah membantu dia untuk berada di tahap persembahan terbaiknya.”

“Dia bekerja keras dan sentiasa berjaya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang kami buat, baik dari segi cara permainan atau formasi, dia sentiasa bersedia.”

“Dia menikmati kariernya di sini, maka semuanya baik-baik saja dan semuanya positif. Tidak ada hal lain boleh saya katakan.”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply