Junior Eldstal Dilayangkan Kad Merah Aneh Dalam Perlawanan Thai League 1

Pemain kacukan berdarah Malaysia-Sweden dan anggota skuad Harimau Malaya, Junior Edstal dilayangkan kad merah yang agak aneh dalam perlawanan Thai League 1 pada hujung minggu lalu.

Ikuti Aksi Pemain Bola Sepak Tempatan Di Saingan Thai League 1 Di Arena 2, Tiga Saluran Sukan Baru Bakal Dilancarkan Astro!

Dalam perlawanan menentang Chiangrai United, Junior yang beraksi untuk Chonburi dilayangkan kad merah terus oleh pengadil pada minit ke-66 perlawanan.

Kad merah tersebut dilayangkan pengadil selepas satu tackle dari sisi yang menyebabkan penyerang import Changrai United dari Brazil, Felipe Amorim terjatuh.

Pandangan mata kasar dan ulangan video terhadap hadangan tersebut dianggap bersih kerana Junior berjaya merampas bola dari penmain lawan.

Di dalam situasi sedemikian, adakalanya pengadil akan memberikan advantage kepada pasukan lawan, dan memberikan sepakan percuma. Situasi paling buruk ialah pengadil akan memberikan amaran kad kuning. Tindakan sedemikian bagaimanapun sudah dianggap berat.

Namun dalam perlawanan yang berlangsung pada Jumaat itu, pengadil perlawanan terus melayangkan kad merah kepada Junior.

Berdasarkan ciapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan itu di Twitter, kad merah tersebut dilayangkan kerana dakwaan tackle berbahaya menggunakan dua kaki.

Siapa pun yang menyaksikan ulang tayang perlawanan tersebut dapat menyaksikan Junior hanya menghulurkan sebelah kaki sahaja untuk mendapatkan bola dari kaki pemain lawan.

Anehnya pengadil tidak menerima sebarang penjelasan, dan tiada semakan semula menggunakan video bantuan pengadil (VAR) yang sememangnya digunakan di Liga Thailand.

Kedua-dua pasukan sedang terikat 2-2 ketika Junior dilayangkan kad merah tersebut. Pasukan lawan kemudiannya berjaya memanfaatkan kelebihan pemain yang mereka miliki dengan gol kemenangan pada babak akhir separuh masa kedua.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply