Juan Mata Sanggup Gaji Dipotong £45K Untuk Kekal Besama Man Utd

Juan Mata dilaporkan sanggup menerima potongan gaji dengan jumlah yang agak signifikan semata-mata untuk mendapatkan kontrak selama dua tahun untuk kekal bersama Manchester United.

Pemain tengah dari Sepanyol itu baru-baru ini menandatangani kontrak baharu selama dua tahun dengan pilihan tambahan setahun.

Sanggup berkorban

Menurut laporan dari The Sun, Mata terpaksa mengorbankan £45,000 seminggu – berbanding apa yang diterima sebelum ini – untuk kontrak tersebut.

Kontrak asal Mata yang tamat pada Jun ini dilaporkan bernilai £180,000 seminggu. Kini pemain perancang berusia 31 tahun ini akan menerima £135,000 seminggu – penurunan sebanyak 25% daripada jumlah yang diterima oleh beliau sebelum ini.

MANCHESTER, ENGLAND – OCTOBER 23: Juan Mata of Manchester United looks on during the Group H match of the UEFA Champions League between Manchester United and Juventus at Old Trafford on October 23, 2018 in Manchester, United Kingdom. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

Menurut satu sumber kepada The Sun, Juan Mata dikatakan gembira bermain dengan United, dan gembira dengan kehidupan beliau di bandar Manchester – faktor utama mengapa beliau memilih untuk kekal bersama kelab tersebut.

“Beliau [Mata] risau perlu berpindah lagi. Kerana itu beliau berusaha untuk tidak menerima kontrak 12 bulan. Akhirnya wakil beliau dan pihak kelab mencapai kesepakatan,” ujar sumber tersebut.

Mata menyertai Manchester United daripada Chelsea pada 2014 dengan nilai perpindahan £37.1 juta.

Rashford diyakini kekal

Dalam perkembangan lain, pihak pengurusan di Old Trafford juga dikatakan semakin hampir untuk mengikat Marcus Rashford dengan kontrak jangka masa panjang.

Penyerang antarabangsa England berusia 21 tahun itu sebelum ini dikatakan menemui jalan buntu dalam perbincangan dengan pihak kelab untuk kontrak baharu.

Menurut sumber dari The Times, Rashford dikatakan menuntut kontrak bernilai £300,000 seminggu – dan keadaan beliau di Old Trafford diikuti rapat oleh kelab-kelab utama Eropah yang lain termasuk Barcelona, Real Madrid dan Juventus.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Tatkala United berjaya mengekalkan beberapa pemain dari musim lalu, aktiviti di jendela perpindahan pemain kelab tersebut sentiasa mendapat kritikan penyokong mereka. Menjelang latihan pra musim yang akan bermula pada 1 Julai hadapan, United setakat ini hanya membawa masuk pemain sayap Swansea, Daniel James dengan harga £15 juta.

Perbincangan untuk mendapatkan bek kanan Crystal Palace, Aaron Wan-Bissaka masih lagi berjalan, dan Ole Gunnar Solskjaer turut dikatakan memburu seorang pemain pertahanan tengah dan seorang pemain sayap sebelum pra musim bermula.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram