Juan Mata Adalah Pemain Yang Murah Hati, Gesa Rakan Profesional Turut Menderma

Juan Mata telah mengesahkan dirinya sebagai antara pemain paling pemurah di dalam bola sepak apabila berikrar untuk mendermakan 1% daripada pendapatannya kepada kebajikan dalam inisiatif membantu kanak-kanak kurang upaya.

Mata turut menyeru rakan pemainnya untuk turut memberi sokongan dalam program yang dilaksanakan oleh Common Goal ini.

Common Goal adalah satu gerakan yang membenarkan pemain bola sepak di seluruh dunia untuk menderma 1% daripada pendapatan mereka kepada badan kebajikan yang melaksanakan program bola sepak secara global bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di seluruh dunia.

Kredit: Common Goal

“Apa yang kami mahu lakukan di sini ialah untuk menerangkan definisi perkongsian agenda sosial untuk bola sepak,” kata Mata.

“Common Goal melangkau jenama peribadi dan ego untuk memberikan impak kepada komuniti. Dengan memberikan ikrar sedemikian, kita boleh merungkai hubungan antara bola sepak sebagai sebuah perniagaan dan juga bola sepak sebagai alat perubahan sosial.”

Mata berkata demikian mengenai inisiatif terbaru tersebut dalam satu lawatan ke Mumbai, India.

“Antara perkara pertama yang saya pelajari dalam bola sepak ialah ia memerlukan sebuah pasukan untuk memenangi satu perlawnan.”

“Kita percaya akan kata-kata ini, tetapi kita amat jarang berusaha sebagai sebuah pasukan untuk memberi impak kepada persekitaran sosial. Kebiasaannya ia hanya dilakukan atas inisiatif individu,” jelas Mata.

Kredit: Common Goal

“Melalui Common Goal, kita telah membuka ruang dan kaedah untuk bola sepak memberi kembali kepada komuniti. Saya menyarankan supaya rakan pemain turut menyertai program ini.”

Mata kini sedang mencari kesebelasan pertama pemain yang berminat untuk turut berikrar dalam menyumbangkan 1% daripada jumlah pendapatan mereka untuk membawa inisiatif ini ke hadapan.

“Pemain adalah individu tepat untuk memulakan program sebegini kerana mereka adalah bintang di dalam industri ini,” jelas Juergen Griesbeck, CEO kepada streetfootballworld.

Streetfootballworld adalah sebuah NGO yang menyokong lebih dari 120 badan kebajikan melibatkan bola sepak di seluruh dunia.

Menurut Griesbeck, ini merupakan langkah pertama untuk membawa inisiatif sebegini ke peringkat global.

“Bayangkan jika keseluruhan komuniti di dalam industri bola sepak di seluruh dunia bersama-sama melakukannya demi perubahan sosial yang kita mahukan. Kita pasti mampu membawa bola sepak ke era yang baru dengan menyemai lebih banyak kesedaran dan sebab kepada akar permainan bola sepak itu sendiri,” jelas Griesbeck.

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Juan Mata bukanlah asing dalam hal memberikan sumbangan terutama di dalam hal kebajikan kanak-kanak.

Pada tahun lepas, Mata mengejutkan kanak-kanak dan ibu bapa di Sekolah Khas Komuniti Kingfisher di Oldham dan juga Starlight Unit di University Hospital of South Manchester untuk menyerahkan derma dan sumbangan yang diserahkan oleh pemain itu sendiri melalui Yayasan Manchester United.

Sumber:

1. Sid Lowe, The Guardian (2017): Juan Mata out to transform football and the world one per cent at a time; https://www.theguardian.com/football/2017/aug/04/juan-mata-transform-football-donate-salary

2. Rob Dawson, ESPN FC (2017): Manchester United’s Juan Mata to give portion of salary to charity; http://www.espnfc.com/manchester-united/story/3172068/manchester-uniteds-juan-mata-to-give-portion-of-salary-to-charity

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN