Jose Mourinho Sahkan David De Gea Akan Kekal Bersama Manchester United

Cerita David de Gea akan meninggalkan Manchester United untuk menyertai Real Madrid bukanlah perkara baharu buat penyokong Manchester United di seluruh dunia.

De Gea telah dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu sejak 3 tahun yang lalu, termasuk perpindahan yang hampir pasti namun digagalkan oleh mesin fax yang rosak pada minit akhir jendela perpindahan musim panas 2015.

Kali ini Jose Mourinho tampil memberi jaminan 100% bahawa penjaga gol berusia 26 tahun itu akan kekal berada di hadapan gawang pasukan kendaliannya pada musim hadapan.

(Photo by Ian Walton/Getty Images)

De Gea akan mengambil tugas sebagai penjaga gol bersama Sergio Romero pada awal pagi esok dalam pertandingan International Champions Cup (ICC) menentang Real Madrid di Santa Clara.

Pihak pengurusan di United turut yakin De Gea akan terus bersama mereka pada musim ini kerana percaya Real Madrid tidak punyai kekuatan kewangan untuk membuat bidaan seperti yang mereka miliki sebelum ini.

Dalam satu sidang media sempena pertemuan dengan Real Madrid, Jose Mourinho dipetik sebagai berkata:

“Saya beri jaminan bahawa De Gea tidak akan pergi ke mana-mana pada musim panas ini. Naluri saya mengatakan, sukar untuk De Gea meninggalkan Old Trafford sekarang,” ujar Mourinho.

“De Gea adalah seorang pemain yang jujur dan  sangat telus. Beliau punyai kontrak panjang bersama United. Tawaran ke kelab (Real Madrid) tertutup walaupun kita membuka pintu untuk rundingan.”

(Photo by Lars Baron/Bongarts/Getty Images)

“Saya boleh tahu jika ada pemain sudah tidak berminat untuk kekal. Saya tidak suka menghalang pemain untuk pergi kerana akhirnya, anda tidak mendapat hasil seperti yang anda harapkan daripada mereka,”

“Jadi kita buka pintu untuk rundingan, namun mereka (Real Madrid) menutupnya. Maka saya berpendapat De Gea punyai pandangan yang tidak berapa bagus terhadap mereka.”

“Sekarang saya melihat De Gea sangat gembira dan fokus dalam latihan. Pada pendapat saya, 100% De Gea akan kekal bersama Manchester United,” jelas Mourinho kepada wartawan yang hadir.

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Jose Mourinho turut mengesahkan akan memberi kedua-dua penjaga gol, David de Gea dan Sergio Romero beraksi untuk 45 minit setiap seorang ketika menentang Real Madrid.

Jose turut mempercayai kehadiran Romero telah membuatkan De Gea tampil sebagai penjaga gol yang lebih baik.

“Saya kagum dengan Romero, begitu juga dengan De Gea. Antara perkara terbaik untuk De Gea ialah bagaimana Romero beraksi cemerlang pada musim lepas.”

“Sebelum ini De Gea tidak punyai saingan. Dia adalah pilihan automatik. Selepas aksi Romero pada musim lepas, De Gea pasti berfikir dan menjalani latihan untuk menjadi penjaga gol yang lebih baik dari sebelum ini,” jelas Mourinho lagi.

“Untuk memiliki dua penjaga gol seperti mereka, ia pasti sangat membantu saya dan pemain-pemain yang lain. Kedua-duanya adalah penjaga gol yang berbeza, namun kedua-duanya sangat bagus,” tambah Mourinho.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Sebelum ini, pemain tengah, Ander Herrera turut mendesak Manchester United untuk memastikan De Gea terus kekal di Old Trafford demi impian mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“David de Gea adalah penjaga gol yang boleh menyumbang mata kepada pasukan. Ini sangat penting. Saya mahu beraksi dengan De Gea di dalam pasukan.”

“Pada saya, David de gea adalah penjaga gol terbaik di dunia. Dia adalah seorang penjaga gol yang hebat, dan dia juga seorang sahabat pada saya. Saya yakin dia sangat fokus bersama Manchester United sekarang,” ujar Ander Herrera.

Sumber:

1. BT Sport (2017): David De Gea “guaranteed” to stay at Manchester United, says Jose Mourinho; http://sport.bt.com/football/david-de-gea-guaranteed-to-stay-at-manchester-united-says-jose-mourinho-S11364197972563

2. Mark Froggat, ManUtd.com (2017: MOURINHO GUARANTEES DE GEA IS NOT LEAVING; http://www.manutd.com/en/News-And-Features/Football-News/2017/Jul/Jose-Mourinho-guarantees-David-De-Gea-is-not-leaving-Manchester-United.aspx

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN