Jordan Henderson Tambah Senarai Kecederaan Pemain Liverpool

Jordan Henderson England Liverpool

Pemain tengah England, Jordan Henderson yang ditukar pada masa rehat separuh masa ketika pasukannya tewas 2-0 kepada Belgium dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) pada Ahad  dilaporkan mengalami kekejangan pada otot kakinya.

Pengurus England, Gareth Southgate kemudian menggantikan kapten Liverpool tersebut dengan pemain tengah Tottenham Hotspur, Harry Winks namun dua gol awal oleh Youri Tielemans dan Dries Mertens menutup peluang England untuk mara ke pusingan akhir.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Southgate menjelaskan Henderson akan membuat imbasan sebaik sahaja kembali ke kelabnya dan tidak akan beraksi dalam perlawanan terakhir kumpulan A2 menentang Iceland pada Rabu ini.

England turut kehilangan khidmat Raheem Sterling untuk perlawanan berkenaan kerana kecederaan peha.

Perkembangan tersebut pastinya merunsingkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang sudah pun kehilangan sebahagian besar pemain utamanya untuk aksi Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu ini.

Dengan dua tonggak pertahanan tengah, Virgil van Dijk dan Joe Gomez telah menjalani pembedahan lutut, mereka juga kehilangan dua pemain bek kiri dan kanan iaitu Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold yang mengalami kecederaan hamstring.

Thiago Alcantara, Fabinho dan Alex Oxlade-Chamberlain juga masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sementara penyerang utama mereka, Mohamed Salah sudah pasti tidak dapat beraksi berdepan Leicester kerana perlu menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan positif COVID-19.

Klopp kini terpaksa bergantung kepada pemain-pemain kurang berpengalaman seperti Sepp van den Berg, Nathaniel Phillips, Kostas Tsimikas dan Neco Williams untuk diletakkan di barisan pertahanan.

Pengurus warga Jerman itu juga mungkin terpaksa menggunakan ‘plan B’ dengan meletakkan beberapa pemain tengah di posisi tersebut bagi memastikan keseimbangan dalam kesebelasan utamanya.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Jordan Henderson dan Liverpool:

Jordan Henderson: Kritikan Tingkatkan Prestasi Saya

5 Pemain Pertahanan Yang Liverpool Patut Beli Januari Ini

Trent Alexander-Arnold Jadi Pemain Terbaharu Sertai ‘Senarai Kecederaan’ Liverpool

Andy Robertson Mengadu Alami Kecederaan Hamstring Ketika Bantu Scotland

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply