Jonatan Bauman Diintai Mario Gomez

Bauman Rodriguez Kedah

Sejak dilepaskan Kedah pada penghujung musim 2019, Jonatan Bauman masih belum memilih destinasi baharunya untuk musim 2020 dan kini telah dikaitkan bakal kembali semula ke Liga 1 Indonesia.

Pernah beraksi di Persib Bandung pada musim 2018 sebelum menyertai Kedah, penyerang kelahiran Argentina ini dikhabarkan sedang diintai mantan jurulatihnya, Mario Gomez yang kini bersama Arema FC.

Mario Gomez yang pernah membimbing Johor Darul Ta’zim (JDT) itu baharu sahaja diumumkan sebagai pengendali Arema FC pada Khamis lalu dan kini sedang merencana perancangan musim baharunya.

“Eze [Ezechiel N’Douasel] dan Jonatan [Bauman] memiliki kualiti sebagai penyerang,” memetik kenyataannya di portal Kompas selepas sah dilantik sebagai pengedali baharu Arema FC.

“Untuk pemain import, saya gembira dengan kehadiran [Oh] Ink-yun. Saya masih menunggu tiga pemain import lain. Karena mereka akan menjadi teras kekuatan Arema,” ujar Mario Gomez lagi.

“Jadi kami akan mendatangkan pemain import yang benar-benar sesuai,” ulasnya sambil menegaskan belum mahu memikirkan sasaran musim baharu tetapi mahu meningkatkan kecergasan pemain dahulu.

Sembilan pemain baharu sudah diborong oleh Singo Edan dengan salah seorangnya adalah pemain import kelahiran Korea Selatan, Oh Ink-yun, menjadikan hanya tiga slot pemain import perlu diisinya kini.

Mario Gomez memberi gambaran bahawa pemain import yang bakal dibawa masuk selepas ini mungkin pernah berkolaborasi bersamanya ketika membimbing Persib Bandung ataupun Borneo FC.

Ini yang telah menjadikan khabar angin bertiup kencang bahawa Jonatan Bauman bakal kembali ke Indonesia dan akan membentuk semula gandingan ampuhnya bersama Ezechiel N’Douasel.

Malah, pemain baharu Arema FC, Oh Ink-yun juga memberikan gambaran mahu membentuk semula gandingannya bersama kedua-dua pemain tersebut seperti bersama di Persib Bandung musim 2018.

Jonatan Bauman hadir ke Liga Malaysia dengan reputasi baik di Persib Bandung sebelum berhasil membantu Kedah untuk menjulang kejuaraan Piala FA dan meraih gelaran naib juara Piala Malaysia 2019.

Begitupun, jodohnya bersama Helang Merah tidak berkekalan apabila diumumkan tidak disambung kontrak baharu pada penghujung musim bersama gandingan serangannya, Fernando Rodriguez.

Kredit Foto: MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram