Jom Sertai & Tunjukkan Kemahiran Anda Dengan #StayAtHomeChallenge

Lee Tuck Stay At Home Challenge

Di saat segelintir rakyat Malaysia masih berdegil dengan Perintah Kawalan Pergerakan, para pemain bola sepak di Malaysia menunjukkan satu sisi aktiviti yang mungkin boleh dibuat oleh semua iaitu menyertai #StayAtHomeChallenge.

#StayAtHomeChallenge yang bermula daripada pemain-pemain bola sepak di luar negara sudah mula mendapat tempat di kalangan pemain-pemain di Liga Malaysia.

Apa yang mahu ditunjukkan mereka bukan sahaja skil mereka dalam menimbang gulungan tisu tandas tetapi ada benda menarik yang boleh dilakukan apabila terpaksa memerap di rumah – di Malaysia perintah berkuat kuasa selama 14 hari.

Cabaran di media sosial ini bukan sahaja dilakukan oleh para pemain, tetapi para peminat dan penyokong boleh turut serta saling mencabar dengan meletak tanda pagar tersebut pada posting video beserta menamakan calon untuk dicabar.

Pemain-pemain Liga Malaysia yang dilihat telah menyertai cabaran tersebut adalah kapten Terengganu FC, Lee Tuck, penyerang Kedah, Kpah Sherman, pertahanan Selangor, Nicholas Swirad dan pemain tengah Melaka United, Romel Morales.

Semua pasukan-pasukan Liga Malaysia tertakluk dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perintah kawalan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Latihan tidak boleh dijalankan, pemain asing dilarang meninggalkan Malaysia kerana akan dilarang masuk semula ke dalam negara dan tiada perlawanan persahabatan boleh dilangsungkan sepanjang tempoh perintah kawalan tersebut dikuatkuasakan.

Saingan CIMB Liga Super 2020 sudah berlangsung sehingga ke minggu ke-4 dan pada minggu ke-4 itu, ianya dilangsungkan tanpa kehadiran para penyokong. Liga direhatkan bermula pada minggu ke-5 sehingga dimaklumkan kelak.

Dengan momentum pasukan semakin meningkat, secara tiba-tiba perlu berehat sememangnya sedikit akan menjejaskan pasukan, namun sesetengah pasukan seperti Terengganu FC dan Kelantan ada memberikan ‘kerja rumah’ untuk pemain.

Lebih 200 ribu kes sudah merebak di seluruh dunia dengan lebih 900 kes dilaporkan di Malaysia, mengikuti arahan kerajaan adalah langkah terbaik ketika ini iaitu dengan tidak ke mana-mana dan berada di mana anda berada ketika ini – duduk di rumah.

Sudahkah anda menyertai #StayAtHomeChallenge tersebut? Daripada tidak membuat apa-apa di rumah, jom rakamkan aksi anda menimbang gulungan tisu tandas yang mungkin telah ‘diborong’ ketika ‘panic attack’ tempohari.

KREDIT FEATURED IMAGE: INSTAGRAM LEE TUCK

Baca juga artikel kami yang lain mengenai CONVID-19:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram