Jom Kembalikan Memori Bermain Bola Tepuk Dengan AZ BolaTepuk

Bola Tepuk AZ BolaTeuk 2020jpg

Bosan berada di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Asyik pegang telefon bimbit sampai sudah tak tentu arah? Rasa hendak muntah dah layan cerita di kaca televisyen? Jadi, apa yang boleh dilakukan pada masa ini?

Masih ingat permainan Bola Tepuk yang kita pernah main ketika zaman kanak-kanak dahulu? Ia merupakan permainan yang dikatakan sangat popular sekitar tahun 70-an, 80-an dan awal 90-an. Mungkin ‘nama’ panggilannya berbeza mengikut tempat.

Semuanya BOLA berkesempatan menemubual seorang dan mungkin satu-satunya pengusaha perniagaan Bola Tepuk, Azmi Lop Ahmad yang berasal daripada Selama, Perak dan kini menetap di Damansara Damai, Selangor. Jom ikuti perkongsiannya.

Ianya terbukti berkesan

“Antara sebab utama saya buat perniagaan Bola Tepuk ini adalah untuk elakkan orang ramai terutamanya kanak-kanak daripada selalu bergantung dengan telefon bimbit disamping mengeratkan silaturrahim dikalangan keluarga dan masyarakat.

“Dan ianya memang terbukti berkesan.” Itu ungkapan daripada Azmi mengenai usahanya untuk mengembalikan permainan zaman dahulu ini ke masa kini dengan sedikit penambahbaikkan yang diusahakannya sendiri agar ianya nampak lebih menarik.

Bekerja di sektor pembinaan bangunan untuk sebuah syarikat pembinaan, ia mungkin bukanlah masalah besar untuknya ‘menghidupkan’ semula permainan yang pada satu ketika dahulu dibuat dengan hanya menggunakan kotak terpakai sahaja.

Sempena PKP ini berlangsung, Azmi berkata yang penjualan permainan tersebut tampak meningkat berbanding sebelumnya yang hanya mampu dijual sekitar paling tinggi 10 set berjaya dijual sebulan. Kini, setiap minggu permintaannya masih tinggi.

Inilah namanya ‘work from home’

“Sebelum PKP, saya hanya buat pada hujung minggu ataupun pada malam sebab permintaan tidak banyak. Musim PKP ini saya buat secara sepenuh masa sebab saya kena bercuti, jadi masa saya banyak di rumah,” ujarnya mengenai perniagaannya itu.

“Jadi, nampaknya ia benar-benar dinamakan ‘work from home’ sebab sepanjang masa saya buat benda ini,” selorohnya mengenai pekerjaan terkininya ketika tempoh PKP ini.

Jika dikenangkan, ia bermula dengan hanya sekadar kasihan melihat kanak-kanak di kawasan perumahannya bermain permainan bola tepuk menggunakan kertas daripada buku-buku sekolah dan juga kotak, sebagaimana ia dibuat pada zaman dahulu.

Hasil pertama Azmi di surau kawasan kediamannya. FOTO: AZ BolaTepuk

“Saya mulai buat permainan bola tepuk ini sekitar tahun 2015. Masa itu saya tengok, anak-anak di kawasan perumahan saya buat bola tepuk ini jenis lama. Ada yang guna buku sekolah la, ada yang ambil kotak la. Kesian pulak saya melihatnya,” ujarnya.

Mula dapat permintaan daripada jiran-jiran

“Disebabkan saya ini asalnya daripada bidang seni dan berminat dengan seni, jadi saya buatlah untuk mereka. Permulaannya dan lokasi semua ini bermula adalah di surau. Masa itu saya lukis pakai cat dekat lantai [untuk padang],” ujar Azmi lagi.

Selepas itu, tanpa diduga, jiran-jiran di kawasan perumahannya mula memintanya untuk membuat untuk mereka juga, sampai ada yang meminta untuk Azmi datang mengecat lantai ruang depan rumah mereka untuk dijadikan padang pertandingan.

“Sejak itulah, saya mula terfikir yang benda ini boleh buat duit. Jadi, benda pertama saya fikir, macam mana nak buat padang. Macam-macam saya cuba seperti tikar getah dan akhirnya timbul idea karpet. Ianya mudah untuk diuruskan,” jelasnya lagi.

Dan akhirnya pada sekitar tahun 2017 atau 2018, beliau mendapat ilham untuk membuat page di Facebook iaitu, AZ BolaTepuk. Sekali sekala sahaja saya boost posting di dalam page tersebut. Dahulu hanya banyak viewers sahaja,” tambahnya.

Inilah ‘work from home’. FOTO: AZ BolaTepuk

Pasukan mana yang dapat permintaan tinggi?

Ketika ditanyakan mengenai set pasukan mana yang paling banyak mendapat tempahan pada ketika ini, Azmi berkata yang antara set Bola Tepuk yang paling banyak dijualnya adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Perak dan juga Selangor.

“Itu adalah empat pasukan utama termasuklah Pahang dan Terengganu yang juga sentiasa mendapat tempahan. Musim PKP ini makin banyak tempahan termasuk juga pasukan Liga Premier, Pulau Pinang dan juga Perlis,” ujarnya kepada Semuanya BOLA.

“Untuk liga luar negara pula, yang popular ketika ini adalah Liverpool, Manchester United, Chelsea, Manchester City, Arsenal, Bercelona dan Real Madrid. Pasukan negara juga ada. Yang popular seperti Malaysia, Brazil, Jerman dan England,” tambahnya.

Azmi juga dilihat ada menganjurkan pertandingan Bola Tepuk di kawasan perumahannya yang melibatkan kanak-kanak di sana dan ianya dilihat mendapat sambutan baik, malah turut disediakan piala dan juga hamper untuk para pemenang.

Penutup

Jadi, bagi pembaca yang berminat untuk mendapatkan set permainan ini untuk dimainkan bersama anak-anak mahupun ahli keluarga, anda bolehlah mengunjungi laman Facebook, AZ BolaTepuk dan menghubungi sendiri saudara Azmi.

Turut disertakan ketika pembelian nanti adalah tatacara dan juga undang-undang permainan Bola Tepuk yang mungkin sebahagian besar daripada kita sudah terlupa akannya. Tunggu apa lagi, jom kita mengimbau semula memori zaman silam kita.

KREDIT FEATURED IMAGE: AZ BOLATEPUK

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN