Joe Hart Cari Kelab Baharu, ‘Serik’ Main Di England

Joe Hart

Daripada penjaga gol utama skuad kebangsaan dan Manchester City, siapa sangka karier Joe Hart merudum secara tiba-tiba dan semakin kelam hari demi hari.

Selepas tidak lagi menjadi pilihan Pep Guardiola di Stadium Etihad, beliau dipinjamkan ke kelab Itali, Torino dan kemudian ke West Ham United sebelum dijual dengan ‘harga lelong’ ke Burnley.

Itu merupakan hakikat yang perlu dilalui oleh sebahagian pemain bola sepak profesional yang berdepan dengan penurunan prestasi yang ketara seperti mana yang berlaku kepada bekas penjaga gol England ini.

Tetapi di Turf Moor beliau kini bukan lagi pilihan utama Sean Dyche dan kehilangan posisi nombor satu kepada Nick Pope di mana kali terakhir beliau diturunkan adalah ketika kekalahan 5-1 kepada Everton pada Disember 2018.

Ianya adalah isyarat jelas bahawa beliau tidak lagi diperlukan dan perlu berhijrah ke kelab lain untuk kembali menjadi penjaga gol utama pasukan.

Hart telah pun mengumpul 75 kaps bersama England di peringkat antarabangsa dan memainkan peranan yang cukup penting ketika The Citizens memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sekiranya beliau mahu bermain di peringkat tertinggi, mungkin perpindahan ke Serie A, La Liga atau Bundesliga adalah pilihan terbaik penjaga gol berusia 33 tahun itu memandangkan kontraknya bersama Burnley sudah sampai di penghujung.

“Di England saya tidak rasa boleh merebut tempat sebagai penjaga gol utama lagi. Mungkin saya sudah tidak mampu untuk lakukan seperti mana apa yang pernah capai di liga ini,” kata Hart kepada Guardian.

“Apa yang saya mahu hanyalah untuk mempunyai peranan yang lebih besar buat pasukan. Saya faham tak mungkin saya boleh sertai pasukan besar seperti Real Madrid, tetapi bukanlah bermakna ‘hilang’ terus kemahiran dan kemampuan saya.

“EPL satu pengalaman yang cukup berharga buat saya, tetapi mungkin sudah sampai masa untuk saya kembangkan karier ke tempat lain.”

Baca juga artikel kami yang lain menganai Joe Hart:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram