Joe Gomez: Tunjang Pertahanan Liverpool & England Yang Datang Dari ‘The Valley’

Nama Joe Gomez mungkin bukan menjadi sebutan ramai di awal musim. Ayuh lupakan sebentar mengenai Alisson Becker yang pernah digelar penjaga gol termahal dunia – sebelum nama Kepa Arrizabalaga diumumkan di Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas lalu. Atau pun ‘The Mighty’ Virgil van Dijk yang memegang label sebagai pemain pertahanan termahal dunia.

Bagi penyokong setia Liverpool, Alisson dan Van Dijik- dua pemain ini dianggap seperti kepingan pelengkap kepada skuad kendalian Jurgen Klopp yang masih belum merekodkan sebarang kekalahan selepas 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Kerana itu tidak menghairankan, laungan ‘This Year is Our Year’- yang sering menjadi momokan lawan pada musim-musim sebelumnya yang ibarat tulah, kini menjadi istilah yang mempunyai keberangkalian terbaik untuk direalisasikan pada musim ini.

Tetapi mungkin tanpa ramai sedari pada awal musim; selain dari Alisson, Van Dijik dan juga mungkin Dejan Lovren yang dianggap sebagai pemain pertahanan tengah terbaik dunia oleh Klopp sendiri – kepingan akhir yang menjadikan cabaran Liverpool menjadi sangat kompetitif – pada musim ini, juga terletak kepada pemain pertahanan berusia 21 tahun, Joseph Gomez.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)
Joseph Dave Gomez

Joseph Dave Gomez adalah nama sebenar beliau. Perjalanan karier beliau boleh dikatergorikan sebagai unik. Gomez menyertai akademi bola sepak Charlton Athleletic pada usia 9 tahun. Pada usia 13 tahun, pemain pertahanan ini sudah melakukan penampilan bersama skuad Bawah 18 kelab itu.

Pada usia muda, peluang sudah tiba untuk menyertai kelab utama Liga Inggeris – rakan sepasukan Kasey Palmer dan Charlie Colkett menyertai Chelsea – namun Gomez memilih untuk terus kekal bersama The Addicks.

“Gomez mengingatkan saya kepada Jonathan Woodgate ketika saya bertugas di akademi milik Leeds,” ujar Pengarah Akademi Charlton, Paul Hart kepada The Telegraph pada 2015. “Bezanya Joe [Gomez] mempunyai fizikal yang lebih baik dari Jonathan [Woodgate].”

(Photo by Justin Setterfield/Getty Images)

“Pemain bola sepak yang sempurna itu tidak wujud, tetapi anda harus melihat kepada aset yang dimiliki oleh Joe – kepantasan, kekuatan fizikal, dan kawalan bola yang beliau miliki. Sangat mudah untuk mengetahui beliau mempunya segala elemen untuk menjadi pemain berkualiti pada masa akan datang.”

Prestasi Gomez bersama skuad muda Charlton pantas mendapat perhatian jurulatih skuad remaja England. Malah Gomez beraksi setiap minit untuk skuad muda The Three Lions yang muncul juara Kejohanan Eropah Bawah-17 pada 2014.

Skuad senior Charlton Athletic

Sekembalinya dari Kejohanan Eropah B-17, Gomez diserap ke skuad utama Charlton Athletic. Debut pertama beliau ialah di dalam kemenangan 4-0 ke atas Colchester di pertandingan Piala Liga – beraksi di posisi bek kanan.

“Gomez pasti akan menjadi pemain yang berjaya. Beliau telah membuktikan kepada saya mengapa dirinya perlu berada di dalam pasukan utama,” ujar Bob Peeters yang merupakan pengurus Charlton pada ketika itu. “Pada usia 17 tahun, Gomez sudah pun menjadi pemain yang lengkap.”

Sejak daripada itu, Gomez tidak pernah memandang ke belakang. Diberikan kontrak jangka masa panjang, Gomez tampil 24 kali di posisi bek kanan dan pemain pertahanan tengah di dalam semua pertandingan untuk membantu kelab tersebut mengakhiri saingan Championship musim 2014/15 di kedudukan ke-12.

(Photo by Clive Rose/Getty Images)
Dari The Valley ke Anfield

Aksi konsisten Joe Gomez bersama Charlton Athletic pantas mendapat perhatian kelab-kelab utama Inggeris yang lain. Hanya semusim beraksi sebagai pemain utama di The Valley, Liverpool menyambar pemain muda ini ke Anfield dengan yuran perpindahan £3.5 juta pada 2015 ketika era Brendan Rodgers.

Selepas bersetuju dengan kontrak selama lima tahun dengan kelab Meseyside itu, Gomez pada mulanya dijangka akan dipinjamkan ke kelab lain untuk mendapatkan lebih banyak minit perlawanan, Namun selepas tampil dalam aksi pertama musim 2015/16 – turut menyumbangkan satu bantuan gol dari posisi bek kiri untuk Philippe Coutinho – Gomez membuktikan dirinya mempunyai tempat bersama The Kops untuk saingan pada musim itu.

(Photo by Bradley Kanaris/Getty Images)

“Saya tidak menjangka Brendan Rodgers akan memberikan peluang kepada Gomez seawal itu. Apatah lagi di posisi bek kiri,” ujar pengurus skuad akademi Charlton, Steve Avory kepada The Telegraph.

“Saya tidak pernah ingat beliau pernah beraksi di posisi tersebut untuk kami. Tetapi jika kebolehan beliau diambil kira, ianya sememangnya tidak mengejutkan. Beliau sentiasa bersedia dan mampu untuk meningkatkan potensi diri.

“Satu perkara yang saya boleh jamin ialah pemain seperti Joe Gomez sentiasa merendahkan diri, dan tidak pernah lupa akan asal usul sendiri.”

Saat sukar

Permulaan baik Gomez di Anfield bagaimana pun sedikit terjejas oleh kecederaan ligamen yang dialami beliau ketika tugasan bersama skuad B-21 England. Kecederaan tersebut memaksa beliau untuk berehat selama lebih dari setahun.

Ia juga bermakna Gomez hanya tampil 10 kali dalam semua pertandingan selama dua musim pertama di Anfield – namun perkara tesebut mungkin mempunyai hikmah.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

“Jika saya imbau kembali kecederaan tersebut, ia mungkin memberi sedikit hikmah. Ia adalah tahun yang penting di dalam karier saya. Tetapi kecederaan tersebut memberi saya peluang untuk belajar mempunyai keyakinan. Secara mental, saya kini semakin kuat,” ujar Gomez mengenai kecederaan tersebut.

“Apabila anda mengalami kecederaan sebegitu, ia mengajar anda untuk menitik beratkan semua perkara. Anda tidak boleh begitu pedulikan perkara lain apabila beraksi dengan kelab seperti Liverpool. Perkara terpenting ialah untuk terus kekal merendahkan diri dan berpijak di bumi nyata. Itu adalah pelajaran dalam kehidupan yang saya pelajari lewat kecederaan itu,” tambah beliau lagi.

Ada apa dengan Jurgen Klopp?

Kecederaan Joe Gomez sebenarnya tiba beberapa hari selepas Jurgen Klopp diumumkan sebagai pengurus baharu Liverpool. Walaupun pemain tersebut cedera, Klopp bertegas Gomez sentiasa mempunyai peranan penting di dalam perancangan beliau.

“Pengurus sentiasa datang dan bertanya akan keadaan saya. Ia secara tidak langsung memberikan kekuatan mental kepada saya untuk pulih. Beliau sentiasa berbuat demikian, dan ianya benar-benar membantu proses pemulihan saya.

(Photo by Bryn Lennon/Getty Images)

“Saya tidak berkata Klopp memandang tinggi terhadap keupayaan saya. Namun ia perkara yang membuatkan anda bersemangat apabila seorang pengurus bercakap hal yang positif kepada anda,” jelas Gomez mengenai peranan bekas pengendali Borussia Dortmund itu.

“Klopp adalah seorang jurulatih berkelas dunia. Ia adalah satu penghormatan dilatih oleh beliau. Saya hanya mahu belajar daripada beliau setiap hari.”

Kecederaan di awal musim yang menimpa Nathaniel Clyne pada musim 2017/18 terus memberi peluang kepada Gomez membuktikan keupayaan dirinya, sekaligus membalas kepercayaan yang diberikan oleh Klopp.

Gareth Southgate dan Piala Dunia

Prestasi Gomez bersama Liverpool turut menarik perhatian Gareth Southgate untuk England. Pemain itu mendapat panggilan pertama untuk menyertai skuad utama England pada November 2017.

Debut pertama Joe Gomez bersama The Three Lions pula adalah sebagai pemain gantian kepada Phil Jones dalam perlawanan persahabatan menentang Jerman. Tampil kali pertama dalam perlawanan menentang Brazil beberapa hari selepas itu dalam sistem bek bertiga pengurus England tersebut – Gomez turut diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

(Photo by Ross Kinnaird/Getty Images)

“Kami berada di fasa awal untuk membentuk pasukan England yang baru. Kami membuat beberapa keputusan penting dengan pemain muda, dan mereka nyata tidak mengecewakan,” ujar Southgate merujuk kepada aksi Gomez dan beberapa pemain muda yang lain ketika bercakap kepada BBC Radio 5 selepas perlawanan menentang Jerman dan Brazil.

Namun malang tidak berbau, Gomez mengalami kecederaan dalam perlawanan persahabatan menentang Belanda dan hanya beraksi 10 minit pada Mac 2018. Walaupun sempat beraksi dua perlawanan bersama Liverpool, Gomez terpaksa direhatkan selepas itu akibat kecederaan berulang- menyebabkan beliau terlepas aksi perlawanan akhir UEFA Champions League menentang Real Madrid, dan aksi di Piala Dunia turut punah.

Penutup: Lembaran baharu karier Joe Gomez

Selepas musim yang mengecewakan akibat kecederaan pada musim lalu – ia seperti satu lembaran baharu buat karier Joe Gomez pada musim ini. Joe Gomez telah berjaya menjadikan posisi pemain tengah pertahanan Liverpool dan England adalah milik beliau secara tetap.

11 penampilan daripada 12 keseluruhan untuk Liverpool di saingan Liga Perdana Inggeris- menyaksikan kelab Merseyside itu merekodkan jumlah dibolosi paling sidikit sepanjang sejarah 126 kelab tersebut bersaing di liga atasan Liga Inggeris. Hanya lima gol setakat ini berjaya membolosi gawang Liverpool dari 12 perlawanan. Malah pemain terbaik dunia seperti Lovren, kini terpaksa sekadar memanaskan bangku pemain simpanan kerana prestasi Gomez.

Malah bek tengah Liverpool itu juga kini telah beraksi setiap 90 minit untuk negaranya dalam pertandingan UEFA Nations League- terbaru membantu menewaskan naib juara dunia Croatia 2-1 di Wembley.

Tidak syak lagi, Lovren kini terpaksa akur gelaran pemain pertahanan terbaik dunia tidak lagi sesuai dipikul oleh dirinya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN