Joao Felix: Julang Trofi Liga Juara-Juara Eropah Adalah Impian Saya

Joao Felix

Pemain jentera serangan Atletico Madrid, Joao Felix yang kini merupakan sandaran buat kelab tersebut mengakui bahawa beliau turut berkeinginan untuk muncul pemenang saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Bintang muda kelahiran Viseu, Portugal itu mengakui beliau sememangnya mengimpikan untuk menjulang piala paling berprestij di Eropah tersebut.

Felix menyertai Atletico Madrid daripada Benfica pada jendela perpindahan musim panas lalu setelah memeterai kontrak selama tujuh tahun dengan kos yang menelan £113 juta.

Setelah menjuarai Liga Primeira [Portugal] dan UEFA Nations League pada musim lalu, pemain berusia 20 tahun itu meletakkan sasaran untuk meraih gelaran UCL bersama kelab La Liga tersebut.

Felix dan Atletico Madrid berada di landasan terbaik dalam kejohanan tersebut apabila berjaya menumpaskan juara bertahan, Liverpool pada aksi peringkat 16 yang sekaligus membawa mereka ke saingan suku akhir.

Embed from Getty Images

”Anda memerlukan sedikit tuah untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah.”

”Tetapi kami [Atletico Madrid] berharap untuk memenanginya dan sekiranya saya berjaya menjuarai UCL, ia akan menjadi sesuatu yang sangat indah dalam hidup dan karier saya.”

”Ia akan menjadi salah satu daripada kegembiraan dalam hidup saya – saya sentiasa mengimpikannya [memenangi UCL] sejak saya mula bermain bola sepak,” ujar Joao Felix menurut laporan dikeluarkan Marca.

Musim pertamanya di Sepanyol menyaksikan Felix telah membuat 28 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai Atletico dan berjaya menjaringkan empat gol.

Dengan kemaraan Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah masih lagi dapat diteruskan, tidak mustahil juga impian Joao Felix untuk merealisasikan impiannya tercapai pada musim ini. Sama-sama kita nantikannya!

Kredit featured image: Max Maiwald/DeFodi Images via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Felix:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram